Singapura turunkan unjuran KDNK 2025 susulan impak tarif AS
Bernama
14/04/2025

Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025 yang juga lebih perlahandaripada pertumbuhan 5.0 peratus pada suku sebelumnya. - Foto Reuters
SINGAPURA: Singapura bertindak menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya dalam julat 0.0-2.0 peratus bagi 2025 susulan impak pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi dan perdagangan global selain prestasi suku pertama republik itu.
Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) sebelum ini telah mengunjurkan pertumbuhan dalam lingkungan 1.0-3.0 peratus.
Dalam kenyataan hari ini, MTI berkata berdasarkan unjuran awal, ekonomi Singapura berkembang sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025 yang juga lebih perlahan daripada pertumbuhan 5.0 peratus pada suku sebelumnya.
Pada asas suku ke suku, pelarasan bermusim menyaksikan ekonomi menguncup sebanyak 0.8 peratus, berbeza daripada pengembangan 0.5 peratus pada suku keempat 2024 akibat penurunan sektor pembuatan dan beberapa sektor perkhidmatan berorientasikan luar seperti kewangan dan insurans -- seiring dengan permintaan luaran yang perlahan.
"Pelaksanaan tarif AS serta ketegangan yang berlanjutan dengan China dijangka memberi tekanan ketara ke atas aktiviti perdagangan dan ekonomi global.
"Unjuran pertumbuhan ke atas ekonomi di rantau ini akan mendapat impak negatif daripada penyusutan permintaan luar, sebahagiannya disebabkan oleh impak meluas tarif ke atas pertumbuhan dan perdagangan di peringkat dunia," katanya.
MTI juga menyifatkan keadaan akan terus berubah ketika AS dan negara-negara lain meneliti tindakan masing-masing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran.
Susulan itu, dijangkakan wujud risiko penurunan ke atas ekonomi global.
Menurutnya, ketidakpastian yang ketara itu akan cenderung mengurangkan aktiviti ekonomi pada tahap lebih besar daripada dijangkakan apabila perniagaan dan isi rumah mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" atau berwaspada sebelum membuat sebarang keputusan perbelanjaan.
Dalam pada itu, tekanan pendekatan tarif selanjutnya, termasuk yang bersifat tarif balas, akan mencetuskan perang dagangan besar-besaran yang akan menjejaskan lagi rantaian bekalan, menaikkan kos dan menyebabkan kelembapan ekonomi global secara ketara.
Kementerian itu juga membangkitkan risiko kestablilan kewangan berikutan ancaman gangguan proses disinflasi dan peningkatan kemelesetan, baik di peringkat negara maju dan negara sedang pesat membangun yang boleh menjejaskan aliran modal dan pendedahan ketidaktentuan dalam sistem perbankan dan kewangan.
"Bersandarkan latar belakang itu, penilaian MTI adalah permintaan luar bagi Singapura dan tempoh berbaki tahun ini adalah lemah secara signifikan. Ini membawa kepada penyusutan ke atas prospek bagi sektor berorientasikan luaran di Singapura," katanya.
Sektor pembuatan, terutamanya, dijangka mengalami permintaan global yang lebih perlahan.
Susulan risiko penurunan ketara itu, MTI akan terus mengikuti rapat perkembangan global dan domestik serta bertindak melaras semula unjuran pertumbuhan itu sekiranya wajar.
-- BERNAMA