Selangor sahkan Faisal alami retak tulang hidung

KUALA LUMPUR: Pemain sayap Selangor FC (SFC), Faisal Halim sah mengalami keretakan di bahagian tulang hidungnya dalam perlawanan penutup Liga Super 2024/25 berdepan PDRM FC, malam tadi.
Perkembangan positif itu disahkan pasukan Red Giants menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Faisal mengalami ‘fracture nasal bone with mucosa laceration’ dan akan dirawat secara konservatif serta mendapatkan pemeriksaan rapi dalam masa terdekat.
“Walau bagaimanapun, tiada kesan membahayakan untuk beliau beraksi di atas padang.
“Pihak pengurusan mendoakan agar Faisal Halim cepat sembuh. Terus kuat, Mickey!,” kata SFC.
Sebagai rekod, Faisal berdepan kecederaan terbabit susulan pelanggaran dengan pemain PDRM FC, Faith Friday Obilor pada minit ke-54.
Insiden itu menyaksikan hidung pemain itu berdarah dan terpaksa mendapatkan rawatan pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.
Pada perlawanan itu, SFC menutup kempen musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC untuk kemenangan ke-16 mereka.