Translate

27 April 2024

Norjuma didakwa atas lima tuduhan cedera, khianat



Norjuma didakwa atas lima tuduhan cedera, khianat

Bernama

25/04/2024
Norjuma mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan terhadapnya hari ini. - Foto Bernama

Norjuma didakwa atas lima tuduhan cedera, khianat

Norjuma mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan terhadapnya hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen Norjuma Habib Mohamed dihadapkan di empat Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas tiga individu dan dua pertuduhan melakukan khianat, antara 2017 hingga 2023.

Norjuma, 44, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil, Illi Marisqa Khalizan, Noorelynna Hanim Abd Halim dan Amira Abd Aziz.

Di hadapan Fatin Dayana, Norjuma didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah syarikat borong dan runcit di Menara Atlan, Jalan Ampang, Dang Wangi di sini pada 8.43 malam, 21 Feb 2017.







Usahawan selebriti itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Illi Marisqa, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap pengawal keselamatan warga Nepal, Neupane Tika Ram, dengan menendang betis kiri mangsa di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara, Brickfields di sini pada 3 petang, 29 Mac 2018, mengikut seksyen sama.

Di hadapan Noorelynna Hanim, Norjuma dituduh melakukan perbuatan serupa ke atas Nur Solehah Rosl, 31, dengan menampar pipi dan mencakar tangan mangsa di Kondominium Sastra U-Thant, Wangsa Maju di sini pada 10.30 pagi, 18 Okt 2021, mengikut seksyen serupa.

Norjuma juga didakwa atas dua lagi pertuduhan di hadapan Amira iaitu melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan dengan anggaran kerugian RM4,200 serta merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) anggaran kerugian RM500, milik kondominium sama pada 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Norjuma diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind, Hamizah Hisan dan Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh diwakili peguam Izzat Amir Saharudin.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED