Ahmad Zahid adakan lawatan rasmi tiga hari di Indonesia

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Indonesia bermula hari ini sehingga 22 April.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan Wisma Putra hari ini, lawatan itu mencerminkan kesinambungan kerjasama erat antara kedua-dua negara susulan Lawatan Negara Presiden Indonesia ke Malaysia pada Januari lalu.
“Semasa lawatan ini, Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.
“Timbalan Perdana Menteri dijangka membincangkan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan yang memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); industri halal; pembangunan luar bandar; serta pengurusan bencana,” menurut kenyataan itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut akan menyaksikan pertukaran tiga Surat Niat yang merangkumi dua kerjasama TVET, antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta), serta antara UniKL dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat dan satu MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat yang memfokuskan kepada pendidikan tinggi.
Sebagai sebahagian daripada aturcara lawatan, Ahmad Zahid juga akan melawat Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) dan Pusat Operasi Kecemasan di Pusat
Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).
Timbalan Perdana Menteri turut menyertai Sesi Meja Bulat Halal dan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil utama industri francais Indonesia, termasuk Persatuan Francais Indonesia (AFI) serta Waraba and Licence Franchise Indonesia (WALi).
Selain itu, Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Indonesia, serta merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang akan berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Tambah kenyataan itu, lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan yang sedia erat dan akrab antara Malaysia dan Indonesia.
Ia juga menyediakan platform untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala, di samping menangani cabaran serantau serta memperkukuh kolaborasi masa depan yang berkepentingan bersama.
Untuk rekod pada 2024, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan yang kedua terbesar di kalangan negara-negara anggota ASEAN.
Jumlah dagangan dua hala pada 2024 direkodkan sebanyak RM116.29 bilion (USD25.5 bilion), meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) pada 2023.