Pemilihan PKR: Prabakaran tewas kepada Asheeq Ali
20/04/2025 09:28 MYT
ASTRO AWANI
Pemilihan PKR: Prabakaran tewas kepada Asheeq Ali
Prabakaran tewas kepada bekas aktivis mahasiswa Asheeq Ali untuk jawatan Ketua Cabang Batu bagi Pemilihan Parti Keadilan 2025.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran tewas kepada bekas aktivis mahasiswa Asheeq Ali Sethi Alivi untuk jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu bagi Pemilihan Parti Keadilan 2025.
Berdasarkan borang keputusan (Borang 14), Asheeq berjaya mencapai kemenangan dengan majoriti 153 undi apabila berjaya meraih 946 undi manakala Prabakaran hanya mendapat 793 undi.
Asheeq merupakan Ketua Biro Guaman dan Undang Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang.
Beliau yang kini bekerjaya sebagai peguam merupakan bekas pemimpin pelajar yang lantang menyuarakan isu melibatkan mahasiswa sekitar 2013-2015 sebelum menyertai PKR.
Malah, Asheeq turut mengetuai beberapa himpunan di sekitar ibu kota semasa era pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
Prabakaran, 29 sebelum ini menjadi Ketua Cabang Batu semasa pemilihan parti pada 2022 menewaskan bekas pemimpin kanan PKR juga selaku penyandang cabang tersebut iaitu Tian Chua.
Untuk rekod Prabakaran juga merupakan antara Ahli Parlimen termuda dari parti bebas ketika memenangi kerusinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Beliau berjaya memenangi kerusi tersebut selepas penyandangnya Tian Chua tidak dapat bertanding selepas pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.