Polis cari suspek curi beg duit di Pasar Siti Khadijah

KOTA BHARU: Polis sedang mengesan wanita yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian beg duit seorang pelanggan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini, semalam.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 38 saat tular di media sosial Facebook sejak malam tadi yang memaparkan seorang wanita berusia anggaran 50-an mendekati dan disyaki mengambil beg duit seorang pelanggan wanita yang sedang membeli makanan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud meminta mana-mana pihak yang mengenali individu yang dipaparkan (dalam rakaman video) atau mempunyai sebarang maklumat atau individu berkenaan sendiri tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
“Sebarang maklumat berkenaan individu (dalam rakaman) boleh disalurkan terus ke mana-mana balai polis berdekatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu, Sarjan Mohd Syawal Abd Mutolib di talian, 014-6775994 atau 09-7752242,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.