“Air mengalir tidak dapat diputuskan” - Bagaimana Xi Jinping pupuk persahabatan China-Malaysia
Bernama
13/04/2025

Kini, ketika Xi Jinping sekali lagi bersiap sedia untuk lawatan negara ke Malaysia, kedua-dua negara bersedia untuk terus memperkukuh persahabatan lama ini dan meneroka masa depan bersama yang lebih cerah dalam era baharu. - Gambar fail Reuters
BEIJING: Lebih tiga dekad lepas, ketika Xi Jinping, yang ketika itu merupakan pegawai tertinggi bandar Fuzhou di tenggara China, melakukan lawatan promosi pelaburan ke Malaysia, beliau amat terkesan dengan dua lokasi bersejarah, lapor Agensi Berita Xinhua.
Lokasi pertama ialah Kuil Poh San Teng, satu penghormatan bersejarah kepada Laksamana Zheng He (1371-1433) dari Dinasti Ming. Satu lagi ialah bandar Sibu, yang dikenali sebagai "Fuzhou Baharu" selepas Wong Nai Siong, seorang anak jati Fuzhou, berhijrah ke Malaysia bersama lebih 1,000 penduduk Cina lebih seabad lalu.
Kedua-dua tempat itu menjadi bukti hubungan persahabatan antara China dan Malaysia yang telah terjalin sekian lama - satu ikatan yang sering ditekankan Xi sebagai Ketua Negara China untuk terus diwarisi dan diperkukuh.
Ketika lawatannya ke Malaysia pada 2013, Xi memetik peribahasa tempatan: "Air yang mengalir tidak dapat diputuskan" bagi menggambarkan keakraban dan komitmen antara kedua-dua negara.
Lawatan itu juga menyaksikan beliau membangkitkan semula legasi Zheng He serta memperkenalkan cadangan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, yang menjadi sebahagian penting dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Kini, ketika Xi sekali lagi bersiap sedia untuk lawatan negara ke Malaysia, kedua-dua negara bersedia untuk terus memperkukuh persahabatan lama ini dan meneroka masa depan bersama yang lebih cerah dalam era baharu.
Kerjasama dipertingkatkan
Di lereng bukit yang menghadap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Pahang, terpampang mesej dalam aksara Cina dan Melayu: "Rundingan menyeluruh, sumbangan bersama, manfaat dikongsi - membina masa depan yang lebih baik."
Ungkapan padat itu merupakan prinsip utama BRI yang kini berkembang sebagai rangka kerja pembangunan dan infrastruktur global yang utama dan menggalakkan perkongsian yang semakin berkembang merentas benua.
Sebagai titik pertemuan penting dalam laluan Sutera Maritim purba, Malaysia merupakan antara negara pertama yang menyertai kerjasama BRI.
Hasil usaha bersama dan dorongan teguh daripada Xi, kerjasama dua hala dalam kerangka BRI telah membuahkan pelbagai kejayaan.
Antaranya ialah ECRL, laluan rel sepanjang 665 kilometer yang kini giat dibina.
Bagi menunjukkan kepentingannya terhadap projek utama ini, Xi telah menghantar utusan khas ke majlis pelancarannya pada 2017.
Semasa lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke China pada September lepas, Xi sekali lagi menggesa agar usaha bersepadu digiatkan bagi menjayakan projek ini.
Apabila siap ECRL dijangka merapatkan jurang antara Pantai Timur dengan Pantai Barat Malaysia yang lebih maju, meningkatkan jaringan perhubungan serta menyumbang kepada pembangunan seimbang.
Ia juga berpotensi untuk disambungkan kepada rangkaian rel China-Laos dan China-Thailand, sebagai sebahagian daripada Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, sebuah laluan perdagangan antarabangsa yang penting.
"Jika itu direalisasikan, ECRL boleh menghubungkan seluruh rangkaian rel Thailand dan bersambung ke Kunming di barat daya China melalui Laos, sekali gus memudahkan pergerakan barangan dan penumpang di rantau ini," kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke.
Kerjasama dua hala turut berkembang dalam pelbagai bidang lain. China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah rekod tertinggi sebanyak US$212.04 bilion pada 2024.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, buah-buahan tropika Malaysia seperti durian, manggis dan nangka semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna China.
Semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas, Xi menggalakkan Malaysia untuk memperluaskan eksport produk berkualiti dan unik ke pasaran China, sambil menyeru kerjasama lebih erat dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga baharu.
"Hubungan ekonomi yang berkembang pesat antara Malaysia dan China membuktikan daya tahan dan manfaat bersama dalam hubungan dua hala," kata ahli ekonomi dari Universiti Teknologi PETRONAS, Samirul Ariff Othman.
"Peningkatan pelaburan berterusan dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi, tenaga hijau dan pembuatan akan terus memperkukuh kerjasama ini," katanya lagi.
Sahabat di waktu susah
Pada 2012, Yong June Kong, seorang rakyat Malaysia yang menuntut dalam bidang perubatan di China, telah menderma sel stem hematopoietik kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di China yang menghidap leukemia - menjadikannya penderma sel stem asing pertama di negara itu.
Ketika lawatannya ke Malaysia pada 2013, Xi menyebut kisah menyentuh hati ini bagi menggambarkan keakraban hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
"Kami juga tidak akan melupakan kisah itu," kata Xi.
"Saya langsung tidak menyangka bahawa tindakan sekecil itu menerima pengiktirafan tertinggi," kata Yong, kini seorang doktor di Hospital Renji di Shanghai.
"Saya tidak boleh tidur sepanjang malam selepas mengetahui Presiden China bercakap tentang saya," katanya ketika mengenang kembali peristiwa itu.
Yong berkata, penghargaan yang diberikan Xi bukan hanya sebagai penghormatan peribadi kepadanya tetapi sebagai lambang sokongan antara dua negara.
"Ini menguatkan hasrat saya untuk tinggal di China, untuk meneruskan kerjaya perubatan saya dalam menyelamatkan nyawa, untuk melakukan lebih banyak derma darah dan lain-lain kegiatan kebajikan serta menjadi jambatan persahabatan antara China dan Malaysia," katanya.
Sebagaimana satu peribahasa Melayu yang dipetik Xi: "Kawan ketawa ramai, kawan menangis cuma seorang."
Pada pandangan beliau, kedua-dua negara merupakan rakan baik yang saling hormat menghormati dan percaya serta bergantung antara sama sama lain.
Sejak 1974, ketika Malaysia menjadi negara ASEAN pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China, kedua-dua negara telah memperkukuh hubungan strategik - termasuk ketika menangani Krisis Kewangan Asia 1997 dan gempa bumi Wenchuan 2008.
Kemudian, Malaysia juga menjadi yang pertama mengundang China mengadakan dialog dengan ASEAN dan yang pertama menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak China-ASEAN.
Semasa lawatannya ke Malaysia pada 2013, Xi mengingat kembali perjuangan bersama kedua-dua negara menghadapi Krisis Kewangan Asia 1997 dan tsunami ekonomi global 2008, selain daripada bantuan yang dihulurkan Malaysia kepada China selepas gempa bumi dahsyat bermagnitud 8.0 yang menggegarkan Wenchuan.
Pada 2013 juga, hubungan dua hala dinaik taraf kepada perkongsian strategik komprehensif, dan pada 2023, Xi dan Anwar bersetuju untuk membentuk Komuniti China-Malaysia yang Berkongsi Masa Depan , sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara.
Dalam skop yang lebih meluas, Xi memandang tinggi peranan penting Malaysia dalam kerjasama serantau selaku sebuah negara pengasas ASEAN dan pemacu utama dalam kerjasama Asia Timur.
Xi turut mengulangi sokongan China terhadap kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 serta komitmennya terhadap prinsip Kepusatan ASEAN dan kemerdekaan strategiknya.
"Hubungan Malaysia-China semakin kukuh dalam dekad ini. Hari ini perkongsian ini lebih dinamik dari sebelumnya, menerusi kerjasama ekonomi yang mendalam dan pertukaran antara rakyat yang kuat, " kata Othman.
Perpaduan budaya dan generasi baharu
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia pada tahun lepas, Tan Lak Hon bersama 86 pelajar Malaysia di Universiti Tianjin telah menulis surat kepada Xi, menyatakan hasrat untuk menjadi duta persahabatan antara kedua-dua negara.
Xi, dalam mesej kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menyuarakan kegembiraannya menerima surat itu.
"Saya berasa amat gembira mengetahui bahawa usaha memupuk persahabatan antara dua negara akan diteruskan," katanya.
Tan kini bercadang membuka akaun media sosial bagi berkongsi pengalaman belajar dan melancong di China kepada rakan-rakannya di Malaysia.
"Saya mahu menjadi penyambung persahabatan dan menggalakkan persefahaman antara pelajar Malaysia dan China," katanya.
Xi sendiri sentiasa menekankan pentingnya pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat sebagai asas hubungan antara negara.
Semasa lawatan 2013, beliau menyaksikan pemeteraian perjanjian penubuhan kampus luar negara pertama China - Universiti Xiamen cawangan Malaysia.
Seperti Fuzhou, Xiamen merupakan sebuah bandar utama di Wilayah Fujian,
Universiti itu mempunyai hubungan istimewa dengan Malaysia dan Xi. Ia diasaskan oleh Tan Kah Kee, usahawan dan dermawan kelahiran Xiamen yang berjaya di Malaysia dan Singapura.
Xi pernah berkhidmat di Xiamen dan mempunyai hubungan erat dengan universiti itu.
Kini, kampus Malaysia Universiti Xiamen mempunyai 10 fakulti dengan lebih 9,100 pelajar dari pelbagai negara.
Lebih 6,300 graduan telah dilahirkan, menjadikannya lambang kerjasama pendidikan China - Malaysia.
Ramai graduan seperti Tan bertekad untuk terus menyemarakkan pertukaran budaya - satu nilai yang amat dititikberatkan oleh Xi dalam hubungan antarabangsa.
"Siapa lagi pemimpin yang bukan sahaja merangka visi masa depan, malah turut mendalami nilai dan budaya tamadun lain?" kata Anwar.
"Itulah sebabnya saya selesa berbincang dengan Presiden yang memiliki pandangan jauh dan wawasan," katanya lagi.
-- BERNAMA