Kastam gagalkan cubaan seludup pil captagon bernilai RM210 juta
Bernama
25/03/2025

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Siti Mang menunjukkan bungkusan dadah jenis pil Captagon yang disyaki jenis Amphetamine disorokkan di dalam sofa. - Foto Bernama
PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk pil captagon dianggar bernilai RM210 juta dalam serbuan di Pelabuhan Barat di sini pada 6 Mac.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Siti Mang berkata pemeriksaan terhadap dua kontena menemukan 3.6 juta pil captagon disyaki mengandungi dadah amphetamine seberat 626 kilogram.
"Pil itu disorokkan dalam ruangan rahsia pada 25 sofa di kontena yang diikrarkan membawa muatan perabot dengan dadah berkenaan hanya dikesan selepas menggunakan anjing pengesan.
"Siasatan awal mendapati kontena itu dibawa masuk akhir tahun lepas dari sebuah negara Timur Tengah dipercayai dalam tempoh transit sebelum dieksport semula ke negara Timur Tengah lain bagi mengaburi pihak berkuasan negara berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang mengesan jika terdapat individu dari negara ini terlibat dalam kes itu, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA