Translate

31 March 2025

Tujuh sekeluarga terperangkap kepala air diselamatkan bomba



Tujuh sekeluarga terperangkap kepala air diselamatkan bomba

Bernama

31/03/2025


Kesemua mangsa menyeberangi sungai dengan memakai peranti pengapungan peribadi dan dikawal oleh anggota penyelamat sehingga selesai. - JBPM Perak via Sinar Harian


IPOH: Tujuh sekeluarga yang sedang beriadah di Lata Batu Hampar, Kuala Kangsar berdepan detik cemas apabila mereka terperangkap akibat kepala air sebelum diselamatkan sepasukan bomba dalam kejadian petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata panggilan kecemasan diterima pada 3.54 petang dan anggota penyelamat bergerak menggunakan kenderaan utiliti ke lokasi disebabkan laluan berkenaan tidak dapat diakses dengan jentera berat.

"Setibanya di tempat kejadian mangsa dapat dijumpai dan didapati kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat.

"Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota membuat kerja-kerja menggunakan tali penyelamat dengan menggunakan dua batang pokok sebagai pengukuh (anchor) bagi menyeberangi sungai anggaran lebar 10 kaki dan sedalam 1.2 meter dalam," katanya dalam kenyataan.

Katanya kesemua mangsa menyeberangi sungai dengan memakai peranti pengapungan peribadi dan dikawal oleh anggota penyelamat sehingga selesai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.



-- BERNAMA

Menara KL milik kerajaan, hanya ubah pengurusan - Kementerian Komunikasi



Menara KL milik kerajaan, hanya ubah pengurusan - Kementerian Komunikasi

Bernama

31/03/2025


Kementerian Komunikasi sedang meneliti perkembangan terkini susulan isu pengambilalihan konsesi Menara KL yang dibuat menurut perjanjian konsesi yang telah ditandatangani oleh kerajaan. - Bernama


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah milik kerajaan dan pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan serta operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP).

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan RFP ialah suatu tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP)) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

"Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) telah melaksanakan proses RFP dan seterusnya Jemaah Menteri telah memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut.

"Pembida berjaya ini telah diumumkan oleh pihak kerajaan pada 29 Mei 2024," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Komunikasi sedang meneliti perkembangan terkini susulan isu pengambilalihan konsesi Menara KL yang dibuat menurut perjanjian konsesi yang telah ditandatangani oleh kerajaan.

Selain itu, ia menyatakan kementerian mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi yang telah difailkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baharu ini.

"Oleh itu, pihak kerajaan melalui kementerian ini akan memastikan bahawa apa-apa tindakan yang akan diambil kelak adalah selaras dengan proses undang-undang.

"Sehubungan itu, pihak kementerian memohon agar semua pihak dapat memberikan ruang kepada proses perundangan ini berjalan dengan lancar," katanya.

Pada masa sama, semua pihak terlibat termasuk orang ramai dinasihat agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh mengganggu proses perundangan yang sedang berjalan.

"Kementerian Komunikasi kekal komited terhadap tatakelola yang baik dan akan memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Pengunjung Luar Negara, Warga Asing Memenuhi KLCC Pada 1 Syawal










Empat Cedera Lantai Rumah Runtuh Ketika Beraya










Anggota tentera dikatakan tumbuk pemandu wanita dibebaskan dengan jaminan



Anggota tentera dikatakan tumbuk pemandu wanita dibebaskan dengan jaminan

Bernama

31/03/2025


Seorang anggota tentera yang ditahan kerana menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita di Jalan Persiaran Senawang 4 telah dibebaskan dengan jaminan polis. -Gambar fail/Video tular


SEREMBAN: Seorang anggota tentera yang ditahan bagi membantu siasatan kes menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita sehingga mendatangkan kecederaan di Jalan Persiaran Senawang 4, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Seorang anggota tentera yang ditahan kerana menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita di Jalan Persiaran Senawang 4 telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan, dan polis meminta sesiapa yang mempunyai rakaman kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Insiden berlaku apabila pemandu wanita tidak sempat mengelak isteri dan anak lelaki tersebut yang melintas jalan, menyebabkan kecederaan ringan kepada mereka.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kes membabitkan anggota tentera berumur 35 tahun itu telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Setakat ini empat individu termasuk pemandu wanita berkenaan telah diambil keterangan dan kita minta mereka yang ada rakaman mengenai kejadian, untuk tampil memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"Ia termasuk rakaman papan pemuka (dashcam) atau rakaman daripada orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam polis menahan lelaki tersebut selepas dia dikatakan menggunakan kekerasan terhadap pemandu wanita berusia 28 tahun sehingga menyebabkan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.

Ia susulan wanita itu yang memandu kereta jenis Perodua Axia tidak sempat mengelak ketika isteri lelaki itu yang berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia tujuh tahun tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan kedua-duanya cedera ringan, dalam kejadian kira-kira 10.15 malam.

Wanita itu turut disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Sebelum itu, satu video berdurasi 22 saat turut tular di aplikasi TikTok, memaparkan seorang lelaki bertindak menumbuk seorang wanita selepas dia dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

-- BERNAMA




Bapa rakam penghargaan atas sumbangan rakyat Malaysia untuk pembedahan anak



Bapa rakam penghargaan atas sumbangan rakyat Malaysia untuk pembedahan anak

Bernama

31/03/2025



Mereka kini sedang menunggu temu duga visa di kedutaan AS di Malaysia dan berharap dapat berlepas ke negara itu antara 12 hingga 14 April. - Foto: R Selva Ganapathy


KUALA LUMPUR: Bapa kepada S. Harsheetaa Sai yang berusia lapan tahun merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sumbangan yang diberikan sehingga membolehkan RM1.5 juta berjaya dikumpul untuk pembedahan jantung anaknya di Amerika Syarikat.

R. Selva Ganapathy, 42, berkata jumlah itu berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh kurang sebulan selepas media melaporkan mengenai kisah anak perempuannya yang menghidap penyakit jantung kongenital.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kemurahan hati dan sokongan padu anda semua dalam saat mencabar ini. Terima kasih kepada keprihatinan anda, kami telah capai sasaran kutipan yang diperlukan untuk rawatan anak saya.

"Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menghulurkan sumbangan yang membantu meringankan beban kewangan kami. Dengan sumbangan anda, kami kini dapat meneruskan rawatan dan pembedahan seterusnya di Boston Children's Hospital," katanya kepada Bernama.

Selva Ganapathy yang juga seorang guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy di Sungai Buloh berkata beliau kini sedang menunggu temu duga visa di kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan berharap dapat berlepas ke negara itu antara 12 hingga 14 April.

Harsheetaa Sai yang bersekolah di tempat sama bapanya mengajar menghidap penyakit itu sejak lahir dan memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan di hospital berkenaan yang terkenal dengan kepakaran dalam merawat masalah jantung yang kompleks.

Pada 20 Mac, Anwar menghulurkan sumbangan kepada keluarga Harsheetaa Sai yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarah kanak-kanak itu di Batu Caves, Selangor.

-- BERNAMA

Polis tahan lelaki larikan kereta bersama kanak-kanak istimewa



Polis tahan lelaki larikan kereta bersama kanak-kanak istimewa

Bernama

31/03/2025


Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena. -Gambar fail


GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun dalam satu kejadian di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena, Tasek Gelugor, malam tadi.

Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena.

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dengan rekod jenayah lampau, kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang menasihati orang ramai supaya tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, terutama apabila enjin masih hidup.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dala m kejadian sekitar 8 malam, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak tersebut telah meninggalkan kenderaan jenis Honda BR-V dalam keadaan enjin masih hidup di kawasan parkir masjid berkenaan bagi memujuk anak perempuannya yang berusia setahun.

Beliau berkata seorang individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan melarikan kenderaan tersebut bersama kanak-kanak itu dan bapanya berusia 41 tahun cuba mengejar tetapi gagal.

"Apabila diminta membuka pintu, suspek enggan dan cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan polis yang berada di belakangnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata susulan itu, polis terpaksa memecahkan tingkap kenderaan dan suspek cuba melawan semasa tangkapan dilakukan. Bagaimanapun, polis berjaya menahannya serta menyelamatkan kanak-kanak tersebut tanpa sebarang kecederaan.

"Hasil siasatan mendapati suspek, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain," katanya.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga 3 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Hamzah menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, khususnya apabila enjin masih hidup.

-- BERNAMA

Pemandu lori terlibat kemalangan di Lebuhraya KLK direman



Pemandu lori terlibat kemalangan di Lebuhraya KLK direman

Bernama

31/03/2025


Kemalangan melibatkan lima kenderaan, menyebabkan tiga individu maut dan empat lagi cedera, termasuk dua kanak-kanak. -Gambar fail/Bernama


KUANTAN: Seorang pemandu lori direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dalam kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Kilometer 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Kuantan semalam.

Seorang pemandu lori direman empat hari untuk membantu siasatan kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang mengorbankan tiga sekeluarga.

Kemalangan melibatkan lima kenderaan, menyebabkan tiga individu maut dan empat lagi cedera, termasuk dua kanak-kanak.

Punca kematian ketiga-tiga mangsa adalah kecederaan otak traumatik.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata lelaki berusia 52 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong petang semalam.

"Pemandu terbabit mempunyai empat rekod saman lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan tiga individu maut manakala empat lagi cedera dalam nahas yang melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah lori, Honda Accord, Proton Waja, Proton Saga dan kereta Subaru.

Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Honda Accord iaitu seorang lelaki Wong Kean Yeap, 29, dan kakaknya Wong Hwee Moon,34, serta ibu mereka Lee Lai Cheng, 61, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tiga lagi penumpang kereta berkenaan iaitu lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, dua kanak-kanak masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia lima serta tiga tahun cedera dalam kemalangan itu dan dibawa ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan.

Turut tercedera ialah kelindan lori berusia 29 tahun, manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain terselamat.

Zaiham memaklumkan punca kematian ketiga-tiga mangsa disebabkan kecederaan otak traumatik.

-- BERNAMA

Laporan insiden lelaki OKU maut digilis tren dihantar ke MOT, APAD



Laporan insiden lelaki OKU maut digilis tren dihantar ke MOT, APAD

Bernama

31/03/2025


Mohd Azharuddin berkata, Prasarana menempatkan lebih ramai polis bantuan dan staf operasi di platform, terutamanya di stesen-stesen yang digunakan golongan OKU. - Bernama


KUALA LUMPUR: Laporan siasatan berhubung kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut digilis tren selepas terjatuh di landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa pada 22 Feb lepas telah dihantar ke Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata laporan itu telah disiapkan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden malang itu, selain mengesyorkan beberapa penambahbaikan supaya kejadian serupa tidak berulang.

Beliau berkata Prasarana menempatkan lebih ramai polis bantuan dan staf operasi di platform, terutamanya di stesen-stesen yang digunakan golongan OKU.

"Bagi penyelesaian jangka masa sederhana, kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Jika boleh kami akan memasang sensor di platform supaya dapat memberi amaran jika (ada) sesiapa (berada) terlebih daripada kawasan bahaya.

"Bagi jangka masa panjang, kami akan memulakan proses memasang pintu platform automatik (PSD) seperti di stesen MRT (Transit Aliran Massa)," katanya kepada pemberita selepas menyantuni petugas Rapid KL yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri di Hab Bas dan Rel Pasar Seni di sini hari ini.

Mohd Azharuddin berkata 3,730 kakitangan Prasarana, termasuk bas dan rel bertugas sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini bagi memastikan kelancaran operasi apabila ramai pengguna mengambil peluang cuti umum untuk melawat saudara-mara dan berjalan-jalan di ibu kota.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga bersedia untuk meningkatkan frekuensi bas dan rel sekiranya jumlah pengguna meningkat ketika warga kota yang beraya dan bercuti di kampung masing-masing kembali ke ibu negara.

"Pada hari ini, 3,730 orang bertugas untuk semua operasi LRT, MRT dan bas (dan operasi) berjalan seperti biasa. Apabila ramai pulang dari kampung, kami akan meningkatkan frekuensi dan kakitangan seperti hari-hari biasa iaitu lebih 5,000 kakitangan," katanya.

Ditanya mengenai ancaman keselamatan siber yang menjejaskan sistem komputer tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Mac, beliau berkata pihaknya sentiasa menitikberatkan keselamatan dan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Beliau berkata pihaknya juga menerima arahan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk memastikan sistem keselamatan siber sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, Pengurus Stesen LRT KLCC Mohamad Fauzi Abdul Manap, 47, yang berkongsi pengalaman bekerja pada musim perayaan berkata walaupun sedih tidak dapat beraya dengan keluarga, beliau sedia berkorban demi tugas.

"Tentunya sedih kerana tidak dapat ikut keluarga balik kampung, hanya melihat gambar sambutan menerusi WhatsApp, tetapi 'alah bisa tegal biasa', kita dah biasa demi bertugas. Sebagai pengurus, saya perlu pastikan semua operasi berjalan lancar dan peralatan berfungsi dengan baik.

"Antara cabaran kami bertugas di stesen seperti KLCC, Pasar Seni dan Masjid Jamek ketika hari raya adalah 'diserbu' warga asing, yang bukan semuanya boleh membaca atau mahir menggunakan perkhidmatan LRT," katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

-- BERNAMA

Syawal dalam tugas: PDRM kekal teguh jaga keamanan negara



Syawal dalam tugas: PDRM kekal teguh jaga keamanan negara

Bernama

31/03/2025


Razarudin (foto) merakamkan penghargaan kepada keluarga anggota yang terpaksa berjauhan pada musim perayaan, sambil menegaskan bahawa sumbangan mereka tidak akan dilupakan. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan penghargaan kepada anggota yang bertugas semasa perayaan Aidilfitri bagi memastikan rakyat dapat menyambutnya dalam suasana aman dan harmoni.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menghargai komitmen dan dedikasi anggota polis yang bertugas semasa Aidilfitri untuk memastikan keselamatan negara.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada keluarga anggota yang terpaksa berjauhan pada musim perayaan.

Razarudin mendoakan kesihatan dan keselamatan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata komitmen dan dedikasi pegawai serta anggota polis terutamanya yang menjaga sempadan dan kawalan trafik dalam memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat tetap terpelihara amatlah dihargai dan dikagumi.

"Saya amat memahami bahawa tugas ini bukanlah mudah. Ketika rakyat bergembira menyambut lebaran bersama keluarga, anda tetap menjalankan amanah memastikan keselamatan negara terus terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin turut merakamkan penghargaan kepada keluarga anggota yang terpaksa berjauhan pada musim perayaan, sambil menegaskan bahawa sumbangan mereka tidak akan dilupakan.

"Anda adalah barisan hadapan yang menjadi benteng kepada keselamatan dan keamanan tanah air. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi anda dalam menjalankan tugas dan memberikan kekuatan serta ketabahan.

"Kepada keluarga anggota yang berjauhan, saya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan pengorbanan mereka," katanya.

Beliau turut mendoakan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikurniakan kesihatan dan keselamatan dalam menjalankan amanah serta berharap Syawal ini membawa keberkatan dan kegembiraan walaupun dalam keterbatasan tugas.

-- BERNAMA

Kehidupan kembali pulih di Bangkok selepas gempa bumi



Kehidupan kembali pulih di Bangkok selepas gempa bumi

Bernama

31/03/2025





BANGKOK: Kehidupan di Bangkok kembali pulih tiga hari selepas gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar dan menggegarkan ibu kota Thailand.

Kehidupan di Bangkok hampir pulih sepenuhnya tiga hari selepas gempa bumi berukuran 7.7 melanda Myanmar dan menggegarkan ibu kota Thailand.

Gabenor Bangkok mengesahkan lalu lintas kembali lancar di semua laluan utama, namun beberapa gangguan kecil masih berlaku di kawasan tertentu.

Jumlah korban akibat runtuhan bangunan di Daerah Chatuchak meningkat kepada 11 orang, dengan lebih 70 orang masih hilang dan dipercayai terperangkap.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melaporkan bahawa bandar itu kini hampir pulih sepenuhnya.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt mengesahkan bahawa lalu lintas kembali lancar di semua laluan utama, termasuk laluan rel Kuning dan Merah Jambu serta kedua-dua arah Lebuhraya Din Daeng.

Namun, beberapa gangguan kecil masih berlaku di Jalan Kamphaeng Phet 2 berhampiran tapak bangunan runtuh di Daerah Chatuchak serta tapak pembongkaran kren di Bang Pho, Daerah Bang Sue, katanya kepada pemberita di Pusat Arahan Kecemasan Bangkok, Isnin.

Gempa bumi yang melanda Myanmar pada Jumaat lalu meragut 18 nyawa, dengan puluhan lagi masih dilaporkan hilang di Thailand.

Chadchart menggesa orang ramai agar bertenang dan tidak panik, menekankan bahawa gegaran susulan dari gempa bumi itu adalah kecil dan hampir tidak dapat dirasai di Thailand.

Beliau juga menjelaskan bahawa struktur bangunan yang kekal utuh selepas gempa bumi Jumaat lalu masih selamat.

Hasil pemeriksaan awal BMA mendapati dua bangunan di Bangkok diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk didiami, menjejaskan sekitar 2,000 penduduk.

Sehingga Isnin, 172 orang telah ditempatkan di penginapan sementara.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, mengumumkan bahawa Menteri Dalam Negeri, selaku Ketua Komander Nasional bagi Pencegahan dan Mitigasi Bencana, menurunkan tahap bencana daripada Tahap Tiga (pengurusan bencana besar) kepada Tahap Dua (pengurusan bencana sederhana).

Dalam perkembangan lain, Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok (Erawan Centre) melaporkan bahawa jumlah korban akibat runtuhan bangunan di Daerah Chatuchak meningkat kepada 11 orang, dengan lebih 70 orang masih hilang dan dipercayai terperangkap dalam runtuhan.

Pada Jumaat lalu, tapak pembinaan ibu pejabat baharu Pejabat Audit Negara, yang terletak berhampiran Stesen Besar Bang Sue, runtuh selepas gempa bumi kuat pada Jumaat.

-- BERNAMA

Sultan Nazrin berangkat ke majlis hari raya peringkat negeri



Sultan Nazrin berangkat ke majlis hari raya peringkat negeri

Bernama

31/03/2025


Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia hari ini. --fotoBERNAMA


IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menekankan tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menyatukan dan mendamaikan, terutama semasa musim perayaan.

Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan sambutan dan menikmati pelbagai juadah tradisional yang disediakan.

Keberangkatan tiba baginda pada 3.05 petang disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan exco kerajaan negeri dan beberapa orang kenamaan.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan sambutan dan menikmati pelbagai juadah yang disediakan antaranya sate, kebab, nasi himpit, kuetiau, ketupat, lemang, rendang, laksa, apam lenggang dan minuman.

Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk menyatukan dan mendamaikan.

"Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menyalakan kembali semangat perpaduan supaya ia tidak dibiarkan kelam ditelan api permusuhan," katanya.

Beliau berkata musim perayaan adalah saat untuk menautkan kembali hati bagi menyuburkan kembali semangat kekitaan.

Ini kerana katanya kebelakangan ini, masyarakat sering sahaja berhadapan bermacam insiden dan episod yang menggoncang semangat perpaduan.

"Lebih malang, setiap isu yang timbul tidak lagi dibicarakan mengikut hikmah ratif keilmuan sebaliknya ditanggapi dengan emosi dan prejudis mengikut naratif agama dan perkauman."

"Sehinggakan polemik dan perdebatan yang timbul sering sahaja mencetuskan prasangka dan kesangsian. Satu demi satu naratif kebencian dibina supaya masyarakat mudah saling curiga mencurigai."

"Lebih membimbangkan, suara-suara kebencian ini disambut oleh generasi muda yang tidak sempat merasai keindahan perpaduan sebenar, lalu tanpa segan silu menuturkan bahasa permusuhan," katanya.

-- BERNAMA

Pengarah Mahkamah Sabah maut dalam kemalangan di Kanowit










Identiti Tiga Mangsa Maut Dikenal Pasti










Johor rekod 239 kemalangan jalan raya, empat kematian menjelang Aidilfitri



Johor rekod 239 kemalangan jalan raya, empat kematian menjelang Aidilfitri

Bernama

31/03/2025


M Kumar (foto) berkata angka berkenaan adalah tinggi bagi statistik harian apatah lagi ia berlaku ketika menjelang Aidilfitri. -Gambar fail


JOHOR BAHRU: Johor merekodkan 239 kemalangan jalan raya melibatkan dua kes kemalangan maut dengan empat kematian dalam tempoh 24 jam, semalam.

Johor merekodkan 239 kemalangan jalan raya dalam tempoh 24 jam, termasuk dua kes kemalangan maut dengan empat kematian.

Ketua Polis Johor menggesa orang ramai untuk bersabar dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini.

Kira-kira 30,000 kenderaan luar telah memasuki Johor semalam, namun aliran trafik kembali lancar pada pagi ini.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata angka berkenaan adalah tinggi bagi statistik harian apatah lagi ia berlaku ketika menjelang Aidilfitri.

"Orang ramai diminta mengamalkan sikap bersabar dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya supaya kita sama-sama dapat mengelakkan situasi yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Berhubung aliran kemasukan trafik di Johor, Kumar berkata kira-kira 30,000 kenderaan luar telah memasuki negeri ini semalam, termasuk menerusi Tambak Johor dan Linkedua.

"Setakat ini tiada kesesakan teruk berlaku, mungkin semalam ada sedikit tetapi pagi ini aliran trafik di seluruh negeri kembali lancar," katanya sambil menambah seramai 4,000 pegawai dan anggota bertugas sempena Aidilfitri ini, termasuk 1,998 daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Pada Jumaat lepas, Kumar dilapor berkata kira-kira dua juta kenderaan luar dijangka memasuki Johor dan bilangan itu menyaksikan peningkatan hingga tiga kali ganda berbanding hari-hari biasa.

-- BERNAMA




Bulan Sabit Merah Palestin dapatkan semula 14 mayat susulan serangan Israel di selatan Gaza



Bulan Sabit Merah Palestin dapatkan semula 14 mayat susulan serangan Israel di selatan Gaza

Bernama

31/03/2025


Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mendapatkan semula 14 mayat di Rafah, termasuk petugas perubatan dan anggota pertahanan awam, selepas serangan udara Israel. -Gambar fail/Reuters


GAZA CITY: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada Ahad mengesahkan bahawa ia telah mendapatkan semula 14 mayat di Rafah, selatan Gaza, termasuk lapan petugas perubatannya, lima anggota pertahanan awam, dan seorang kakitangan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas serangan udara Israel kira-kira seminggu lalu.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mendapatkan semula 14 mayat di Rafah, termasuk petugas perubatan dan anggota pertahanan awam, selepas serangan udara Israel.

Organisasi itu melahirkan rasa terkejut terhadap serangan berterusan ke atas kakitangannya dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pelanggaran berat Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan sebahagian mayat ditemukan dalam keadaan terikat dan ditembak, serta menggesa siasatan segera terhadap jenayah ini.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa pasukan penyelamat masih giat mencari lebih banyak mayat di lokasi kejadian, meskipun berdepan cabaran besar akibat serangan berterusan Israel terhadap kru perubatan dan kemanusiaan.

Sebelum ini, organisasi itu memaklumkan bahawa nasib sembilan petugasnya masih tidak diketahui selama lapan hari berturut-turut selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka ketika mereka menjalankan tugas kemanusiaan di Rafah.

Petugas perubatan itu menjadi sasaran ketika dalam perjalanan memberikan bantuan kecemasan kepada individu yang cedera akibat serangan di kawasan Al-Hashashin, dengan beberapa daripada mereka mengalami kecederaan sebelum terputus hubungan kira-kira seminggu lalu, menurut kenyataan itu.

Bulan Sabit Merah Palestin melahirkan "rasa terkejut" terhadap serangan berterusan ke atas kakitangannya, meskipun mereka memakai lambang perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa.

Serangan itu disifatkan sebagai "jenayah terancang" dan "pelanggaran terang-terangan" terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang mewajibkan tentera Israel menghormati serta memudahkan tugas pasukan perubatan tanpa mengancam nyawa mereka.

Organisasi itu sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa untuk menunaikan tanggungjawab undang-undang mereka dan mengambil langkah konkrit bagi menghentikan "pelanggaran berat" Israel terhadap pasukan perubatan serta orang awam Palestin.

Ia menekankan keperluan untuk memastikan Israel bertanggungjawab mengikut prinsip dan ketetapan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia turut mengenal pasti paramedik yang terkorban sebagai Mustafa Khafaja, Ezzedine Shaat, Saleh Mauamer, Rafat Radwan, Mohamed Bahlul, Ashraf Abu Labda, Mohamed al-Heila, dan Raed al-Sharif.

Kenyataan itu menuntut agar pelaku jenayah perang dibawa ke muka pengadilan dan satu siasatan segera dijalankan bagi memastikan keadilan bagi mangsa serta menentukan nasib paramedik yang masih hilang, Asaad al-Nassasra.

Dengan perkembangan ini, jumlah petugas Bulan Sabit Merah yang terkorban akibat serangan Israel ketika menjalankan tugas kemanusiaan di Gaza meningkat kepada 27 orang.

Kementerian Kesihatan Gaza turut menggesa badan dan organisasi antarabangsa untuk menjalankan "siasatan segera terhadap jenayah ini dan memastikan tentera Israel bertanggungjawab."

Kementerian itu mengesahkan bahawa sebahagian daripada mayat yang ditemukan dalam keadaan terikat, ditembak di dada, dan dikuburkan di dalam lubang yang dalam bagi menyembunyikan mereka.

Hamas pula melaporkan bahawa paramedik yang hilang telah ditemukan dalam keadaan bergari dan dikebumikan dalam satu liang lahad, menyifatkannya sebagai "kes pembunuhan kolektif terbesar yang disasarkan terhadap pasukan kesihatan."

-- BERNAMA

36 gempa susulan selepas gempa bumi dahsyat landa Myanmar



36 gempa susulan selepas gempa bumi dahsyat landa Myanmar

Bernama

31/03/2025


Gempa susulan itu menyusul selepas gempa bumi dahsyat berukuran 7.9 magnitud yang menggegarkan Myanmar pada Jumaat. -Reuters


MANDALAY (Myanmar): Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar pada Isnin mendedahkan bahawa sebanyak 36 gempa susulan, dengan magnitud antara 2.8 hingga 7.5, berlaku sehingga pagi Isnin, lapor Xinhua.

Gempa susulan itu menyusul selepas gempa bumi dahsyat berukuran 7.9 magnitud yang menggegarkan Myanmar pada Jumaat lalu pada 12.51 tengah hari waktu tempatan.



-- BERNAMA

Juruaudit syarikat rugi RM1.29 juta terperdaya pelaburan saham tidak wujud



Juruaudit syarikat rugi RM1.29 juta terperdaya pelaburan saham tidak wujud

Bernama

31/03/2025


Mangsa mula mengesyaki penipuan selepas diminta membuat pembayaran tambahan dan membuat laporan polis. -Gambar hiasan


KUANTAN: Seorang juruaudit syarikat mengalami kerugian RM1.29 juta akibat terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Seorang juruaudit syarikat mengalami kerugian RM1.29 juta akibat pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan melalui WhatsApp.

Mangsa melabur RM50,000 dalam pakej asas dan menerima pulangan modal serta keuntungan, tetapi kemudian membuat 26 transaksi berjumlah RM1.29 juta.

Mangsa mula mengesyaki penipuan selepas diminta membuat pembayaran tambahan dan membuat laporan polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 43 tahun itu dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan pada 16 Julai 2024.

Beliau berkata mangsa yang juga seorang subkontraktor kemudiannya melabur RM50,000 dalam pakej asas dan menerima pulangan modal serta keuntungan RM49,000.

"Dalam tempoh 16 Jan hingga 25 Mac lepas pula, mangsa membuat 26 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza berjumlah RM1.29 juta.

"Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki diperdaya selepas diminta membuat pembayaran tambahan, yang kononnya sebagai caj pengeluaran keuntungan dianggarkan bernilai lebih RM3.1 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa yang melabur menggunakan wang simpanan, gadaian barang kemas dan pinjaman wang daripada rakan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan kes siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Umat Islam Bangkok sambut 1 Syawal dalam suasana suram akibat gempa bumi



Umat Islam Bangkok sambut 1 Syawal dalam suasana suram akibat gempa bumi

Bernama

31/03/2025


Kira-kira 200 jemaah hadir ke Masjid Zhohirul Islam Thonglor untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. -Reuters


BANGKOK: Umat Islam di Thailand khususnya Bangkok menyambut Aidilfitri dalam suasana suram ekoran gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada Jumaat lalu, turut menggegarkan ibu negara Thailand, mengorbankan sekurang-kurangnya 17 nyawa dan puluhan lagi dilaporkan masih hilang.

Umat Islam di Bangkok menyambut Aidilfitri dalam suasana suram akibat gempa bumi kuat di Myanmar yang turut menggegarkan ibu negara Thailand.

Meskipun hujan lebat, kira-kira 200 jemaah hadir ke Masjid Zhohirul Islam Thonglor untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dan menekankan nilai-nilai kebaikan, kasih sayang, dan keharmonian dalam masyarakat.

Komuniti Islam di Bangkok berada dalam keadaan berjaga-jaga dan penuh kebimbangan menghadapi gegaran susulan yang masih dirasai.

Ketika umat Islam di seluruh dunia meraikan Syawal dengan kegembiraan, mereka di Bangkok menyambutnya dengan perasaan yang bercampur-baur, diwarnai ketidakpastian akibat bencana alam ini.

Wakil Sheikhul Islam Thailand, Korsem Mankhong, 71, berkata ramai penduduk di Bangkok masih khuatir dengan kemungkinan gegaran susulan.

"Kami mendoakan agar Allah melindungi semua penduduk," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Masjid Zhohirul Islam Thonglor, Sukhumvit, pada Isnin.

Meskipun hujan lebat turun pada pagi 1 Syawal, ia tidak menghalang umat Islam di Bangkok daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Kira-kira 200 jemaah hadir ke Masjid Zhohirul Islam Thonglor, dengan solat dipimpin oleh Imam Ruslan Pontongdee.

Seorang jemaah, Aisha Vasinee Klinnest, 35, berkata dia sering hadir ke masjid itu untuk menunaikan solat Aidilfitri, tetapi ruang yang terhad menyebabkan ramai memilih untuk beribadah di masjid lain.

"Saya amat bersimpati dengan mangsa-mangsa bencana dan sentiasa mendoakan agar penderitaan mereka segera berakhir.

"Islam mengajar kita untuk membantu mereka yang memerlukan. Oleh itu, sebagai umat Islam, kami sentiasa bersedia memberikan bantuan, dan doa kami adalah agar keadaan kembali pulih seperti sediakala," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dalam perutusannya pada Ahad, mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada semua umat Islam di dalam dan luar negara.

Beliau berkata bahawa Aidilfitri bukan sahaja menandakan berakhirnya ibadah puasa Ramadan tetapi juga mengingatkan tentang nilai-nilai kebaikan, kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat.

Amalan seperti bersedekah, memaafkan, menunjukkan belas kasihan, serta mengikuti ajaran Islam yang penuh kasih sayang akan membawa kehidupan yang lebih bahagia, sejahtera dan ketenangan jiwa, katanya.

Thailand dianggarkan mempunyai kira-kira 10 juta penduduk beragama Islam, yang terus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berbilang budaya.

-- BERNAMA

Tiga rumah teres di Klang musnah dalam kebakaran malam tadi



Tiga rumah teres di Klang musnah dalam kebakaran malam tadi

Bernama

31/03/2025


Kebakaran dipadamkan pada 11.45 malam manakala jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. - Gambar ihsan bomba


SHAH ALAM: Tiga buah rumah teres setingkat di Taman Sri Gadong, Klang, dekat sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.09 malam sebelum menggerakkan 16 pegawai serta anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan, Klang Utara dan Andalas ke lokasi.

"Maklumat awal mendapati kebakaran hanya membabitkan sebuah rumah teres. Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu membabitkan tiga rumah," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kebakaran dipadamkan pada 11.45 malam manakala jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.




-- BERNAMA



Pasukan SMART selamat tiba di lokasi operasi di Sagaing, Myanmar



Pasukan SMART selamat tiba di lokasi operasi di Sagaing, Myanmar

Bernama

31/03/2025


Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di daerah Sagaing, Myanmar bagi mememulakan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara. - Gambar Facebook SMART


KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di daerah Sagaing, Myanmar bagi mememulakan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, perjalanan pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) itu tiba di kawasan tersebut selepas melalui perjalanan hampir 24 jam dengan bantuan serta iringan polis.

"Setibanya di lokasi pengoperasian, pasukan mendirikan Pusat Operasi (BoO) bagi melancarkan misi bantuan.

"Kontinjen Komander turut mengadakan menyuarat Local Emergency Management Authorities (LEMA) yang diwakili oleh pegawai daerah, U Myaw Swar Maung Soe," menurut kenyataan itu yang dikongsikan di Facebook SMART, hari ini.

Semalam Bernama melaporkan, 50 anggota dan pegawai pasukan SMART berlepas ke Naypyidaw, Myanmar menggunakan dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu.

Pesawat pertama tiba pada 11.36 pagi semalam manakala pesawat kedua tiba pada 2 petang selain turut membawa pasukan di bawah NADMA serta peralatan mencari dan menyelamat (SAR) dengan kesemua mereka melalui jalan darat ke lokasi operasi, yang mengambil masa kira-kira lapan jam.

Pasukan yang diketuai komander kontinjen PgKB I Mohamad Hafiezul Abdul Halim terdiri daripada 16 wakil Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (13) dan JBPM (21).

Jumaat lepas, gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain, turut menjejaskan negara jiran Thailand dengan jumlah korban di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.

-- BERNAMA

Agong, Raja Permaisuri berkenan tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan



Agong, Raja Permaisuri berkenan tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan

Bernama

31/03/2025


Sultan Ibrahim berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, hari ini, berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Selain itu, turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Solat sunat Aidilfitri berkenaan diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Ini kali pertama Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan tahun lepas.

Usai menunaikan ibadah berkenaan, Seri Paduka Baginda berdua turut mendengar khutbah bertajuk "Berdamai dalam Dakapan Syawal" yang disampaikan oleh Luqman.

Sultan Ibrahim turut bersalaman dengan jemaah yang sebelum berangkat pulang kira-kira 9 pagi.

Sementara itu, Luqman ketika menyampaikan khutbah menyeru umat Islam untuk memanfaatkan keberkatan Aidilfitri dalam memperbaiki hubungan persaudaraan antara hubungan kekeluargaan, masyarakat dan umat Islam.

Perayaan Aidilfitri perlu dijadikan medan untuk meneruskan nilai mulia dalam kehidupan seharian serta membudayakan sifat berlapang dada dan saling bermaafan.

"Realiti hari ini, memperlihatkan perpecahan dalam kalangan umat Islam akibat perbezaan fahaman, politik dan kepentingan peribadi. Sedarlah, perbalahan hanya melemahkan kita dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk mengambil kesempatan.

"Syawal ini seharusnya menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah dan mengerat hubungan mungkin sudah terputus," katanya.

Dalam semangat Syawal, beliau juga menggesa umat Islam untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam menangani perselisihan yang sentiasa mengutamakan dialog, berlapang dada dan bersikap pemaaf dalam menyelesaikan konflik.

"Inilah asas masyarakat MADANI yang berdiri atas sikap hormat dan ihsan, dilatih melalui tarbiyah Ramadan. Justeru, marilah kita semua menjernihkan hati untuk saling memaafkan, saling berdamai dan menjaga antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA




Jadikan Aidilfitri medium erat hubungan antara kaum - Sultan Mizan



Jadikan Aidilfitri medium erat hubungan antara kaum - Sultan Mizan

Bernama

31/03/2025


Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya sambutan Aidilfitri dijadikan sebagai medium mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.


KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya sambutan Aidilfitri dijadikan sebagai medium mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.

Baginda dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri bertitah, Aidilfitri bukanlah semata-mata hari kemenangan umat Islam, bahkan mampu menjadi jambatan perpaduan antara rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

Justeru Sultan Mizan berharap agar semua rakyat meraikan kepelbagaian agama, bangsa dan kaum dengan cara mengekalkan toleransi serta sifat saling hormat-menghormati.

"Kepelbagaian bangsa dan agama yang terjalin di negara kita sedari dulu bukan sesuatu yang mudah untuk dibina atau untuk dileraikan.

"Beta ingin mengingatkan supaya setiap daripada kita sentiasa meraikan kepelbagaian ini. Pupuklah semangat itu dalam diri anak-anak agar kedamaian sebegini kekal pada masa-masa akan datang," titah baginda.

Selain itu, Sultan Mizan turut menitahkan supaya rakyat Terengganu menyuburkan kembali amalan serta budaya kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi antara keluarga, saudara-mara, jiran dan sahabat handai termasuk yang berbeza agama dan budaya.

Harapan baginda agar Aidilfitri kali ini dapat disambut dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Namun dalam kita bersuka-ria janganlah lupa kepada golongan yang kurang berkemampuan. Ambillah peluang ini untuk membantu mengikut kemampuan kita agar memberi sinar buat mereka berjuang mengharungi kehidupan ini.

"Akhir kata beta dan Sultanah (Sultanah Nur Zahirah) serta keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negeri Terengganu Darul Iman. Semoga segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadan dan Syawal diterima Allah S.W.T," titah baginda.

-- BERNAMA

Preston North End 0-3 Aston Villa | Quarter-Final | Emirates FA Cup 2024/25










Bournemouth 1-2 Manchester City | Quarter-Final | Emirates FA Cup 2024/25

 







Hari raya pererat hubungan: Diplomat asing sambut Aidilfitri bersama Malaysia



Hari raya pererat hubungan: Diplomat asing sambut Aidilfitri bersama Malaysia

Bernama

31/03/2025


Para diplomat menyampaikan satu harapan bersama - agar Aidilfitri membawa kegembiraan, keharmonian dan memperkukuh ikatan antara rakyat Malaysia serta rakan-rakan di seluruh dunia. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Diplomat asing di Kuala Lumpur turut serta dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan rakyat Malaysia, menyampaikan ucapan menerusi mesej video eksklusif kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama.

Dari refleksi tentang perpaduan dan persahabatan hingga harapan untuk keamanan dan kemakmuran, diplomat dari Australia, Bahrain, Jepun, Kazakhstan, Afrika Selatan, Indonesia, Singapura dan negara lain menzahirkan kegembiraan mereka berkongsi perayaan istimewa itu bersama rakyat Malaysia.

Malah, ada yang turut mengenakan pakaian tradisional bagi menyemarakkan semangat Aidilfitri dalam ucapan mereka.

Sentimen yang dikongsi menunjukkan nilai sejagat keharmonian dan kebersamaan yang menjadi teras Aidilfitri, sekali gus mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan rakan-rakan antarabangsa.

Baca mesej penuh mereka serta kemeriahan perayaan di bawah.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan buat rakyat Malaysia sempena Aidilfitri.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri. Bagi pihak Suruhanjaya Tinggi Australia, saya ingin mengucapkan selamat dan mendoakan kebahagiaan rakyat Malaysia yang meraikannya. Semoga Raya ini membawa kedamaian, perpaduan dan kebahagiaan kepada anda dan insan tersayang," katanya.

Duta Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea menyampaikan ucapan kepada kepimpinan negara dan rakyat Malaysia, dengan harapan perayaan ini membawa kemakmuran berterusan.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan salam sejahtera kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan rakyat Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri," katanya.

"Semoga musim perayaan ini membawa kedamaian, kemakmuran, dan kemajuan berterusan kepada Malaysia."

Menyerikan lagi suasana, Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, tampil mengenakan busana baju Melayu berwarna jingga lengkap dengan sampin.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya ingin menyampaikan ucapan tulus ikhlas kepada semua rakyat Malaysia yang menyambut perayaan ini. Semoga Aidilfitri membawa kebahagiaan, kesihatan, dan kemakmuran kepada anda serta insan tersayang," katanya.

Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbaev, pula menyampaikan harapan untuk keamanan dan keharmonian.

"Bagi pihak Kedutaan Kazakhstan, saya ingin mengucapkan salam Aidilfitri kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan, dan rakyat Malaysia. Semoga perayaan yang diberkati ini membawa kedamaian, kegembiraan dan keharmonian kepada semua," katanya.

Kuasa Usaha Afrika Selatan, Jabulisile Msibi, turut menyampaikan ucapan bersama Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Afrika Selatan, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan, dan rakyat Malaysia. Semoga perayaan ini membawa kedamaian, kemakmuran, dan kebahagiaan," kata Jabulisile.

Sementara itu, Duta Hermono mengambil kesempatan untuk menyoroti hubungan erat antara Indonesia dan Malaysia.

"Bagi pihak Kedutaan Indonesia dan masyarakat Indonesia di Malaysia, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, kepada semua saudara-saudara di Malaysia. Perayaan ini adalah peluang bermakna untuk mengukuhkan dan mempererat hubungan persahabatan antara Indonesia dan Malaysia," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon yang mengenakan baju batik, menyatakan kepentingan perayaan ini dalam memperkukuh hubungan dua hala, terutama sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.

"Hari Raya adalah masa istimewa untuk memperbaharui dan mengukuhkan hubungan dengan keluarga dan sahabat.

"Sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura-Malaysia, marilah kita meraikan persahabatan erat antara kedua-dua negara," katanya.

Di luar negara, diplomat Malaysia turut berkongsi kemeriahan Aidilfitri.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, tampil bersama pasukan masing-masing dalam video ucapan 15 saat yang ceria, diiringi lagu Aidilfitri yang tular, menambahkan sentuhan muda dan segar.

Para diplomat menyampaikan satu harapan bersama - agar Aidilfitri membawa kegembiraan, keharmonian dan memperkukuh ikatan antara rakyat Malaysia serta rakan-rakan di seluruh dunia.

-- BERNAMA

Perpaduan mesti dipelihara bagai menatang minyak yang penuh - Agong, Raja Permaisuri



Perpaduan mesti dipelihara bagai menatang minyak yang penuh - Agong, Raja Permaisuri

Bernama

31/03/2025


Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah bertitah, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan agama atau warna kulit mempunyai tanggungjawab untuk menjaga perpaduan berdasarkan lima prinsip Rukun Negara. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim


KUALA LUMPUR: Keharmonian dan perpaduan dalam kalangan semua lapisan rakyat adalah asas kenegaraan yang mesti dipelihara bagai menatang minyak yang penuh, seterusnya dipupuk dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam perutusan Aidilfitri bertitah, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan agama atau warna kulit mempunyai tanggungjawab untuk menjaga perpaduan berdasarkan lima prinsip Rukun Negara.

"Dalam memupuk kebersamaan dan perpaduan yang tulus ikhlas secara berhemah dan produktif, usaha yang kukuh juga mesti dilaksanakan untuk membanteras, tanpa kompromi, sebarang anasir yang membawa ancaman perpecahan.

"Harus difahami oleh semua bahawa menjaga perpaduan ini bukan satu usaha yang mempunyai tarikh tamat. Ia adalah sesuatu yang mesti berterusan selamanya--mendidik, memupuk dan menyemai dalam rakyat kita," titah Seri Paduka Baginda berdua.

Baginda berdua turut bertitah bahawa perpaduan tidak seharusnya hanya di permukaan tetapi mesti lebih mendalam, terutamanya apabila timbul keperluan untuk menangani situasi di mana sesetengah pihak mungkin terguris akibat kejahilan, sama ada disengajakan atau tidak.

Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar pesanan tersebut diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan dan rakyat jelata kerana perpaduan adalah asas kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara.

Bersempena dengan Aidilfitri yang disambut hari ini, Seri Paduka Baginda berdua juga berharap agar ia disambut dengan penuh kesyukuran, menandakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah mengawal hawa nafsu, mensucikan jiwa dan mengejar segala ganjaran pahala sepanjang bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.

"Alhamdulillah, sekali lagi kita dikurniakan nikmat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa.

Saya dan isteri mendoakan semoga sekalian rakyat serta seluruh negara kita dilindungi daripada musibah, insya-Allah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin," titah Seri Paduka Baginda berdua.

Bagi mereka yang gigih berkhidmat untuk negara pada hari yang mulia ini, Seri Paduka Baginda berdua bertitah, jasa dan pengorbanan mereka amat dihargai serta didoakan agar dikurniakan keberkatan dan terus ditiupkan semangat yang kental serta jitu.

-- BERNAMA

Serangan ganas Israel di Palestin antara topik perbincangan Anwar, Erdogan



Serangan ganas Israel di Palestin antara topik perbincangan Anwar, Erdogan

Bernama

31/03/2025


Isu serangan ganas Israel yang semakin memuncak di bumi Palestin ketika umat Islam menyambut Ramadan dan Aidilfitri menjadi antara topik perbincangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Presiden Erdogan pada Ahad.


KUALA LUMPUR: Isu serangan ganas Israel yang semakin memuncak di bumi Palestin ketika umat Islam menyambut Ramadan dan Aidilfitri menjadi antara topik perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan.

Anwar menerusi hantaran di laman Facebook berkata, perkara itu dibangkitkan dalam panggilan telefom antara beliau dan sahabat baiknya pada petang semalam (Ahad).

"Serangan sejak 18 Mac lalu telah membatalkan perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai yang sedang dirancang.

"Saya menegaskan keperluan segera untuk mempertimbangkan rencana-rencana lain bagi menghentikan keganasan ini. Alhamdulillah, Erdogan mengulangi pendirian tegas untuk terus bersolidariti bersama-sama saudara kita di Palestin," katanya.

Dalam kesempatan itu, Anwar turut menyampaikan ucapan salam Aidilfitri kepada Erdogan dan keluarganya.

Beliau turut menghargai perkembangan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang semakin mengukuh terutama susulan kunjungan beliau ke Malaysia tempoh hari.

"Dalam perbualan ini, saya turut menerima jemputan daripada Erdogan untuk berkunjung ke Turkiye. Semoga persahabatan erat antara kedua-dua pemimpin negara yang kian mekar saat ini terus utuh dan membawa manfaat buat rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA

Ketua kerajaan negeri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri, ajak rakyat kukuh silaturahim

 




Ketua kerajaan negeri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri, ajak rakyat kukuh silaturahim

Bernama

31/03/2025


Amirudin ajak umat Islam meneruskan segala amal kebajikan seperti menyantuni golongan fakir miskin dan anak yatim serta mereka yang kurang bernasib baik seiring dengan kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan sambutan Aidilfitri.


KUALA LUMPUR: Ketua-ketua kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di seluruh negara dan mengajak rakyat supaya terus menjaga dan mengukuhkan silaturahim.

Di SELANGOR, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengajak umat Islam meneruskan segala amal kebajikan seperti menyantuni golongan fakir miskin dan anak yatim serta mereka yang kurang bernasib baik seiring dengan kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan sambutan Aidilfitri hari ini.

Beliau berkata, amalan sifat kesederhanaan wajar dihayati dan ditampilkan menerusi tingkah laku dan akal budi agar nilai akhlak baik itu dapat diwarisi oleh anak-anak, seterusnya melahirkan generasi berakhlak mulia dan bertamadun.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap cuti umum tiga hari sempena Aidilfitri dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh seluruh warga Melaka dalam meraikan Syawal bersama keluarga terutama yang pulang daripada perantauan.

"Bukan itu saja, marilah kita sama-sama meraikan Majlis Rumah Terbuka MADANI peringkat nasional yang akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 5 April depan yang akan dihadiri Yang Dipertuan Negeri Melaka dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan kerajaan MADANI," katanya.

Di PAHANG, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri menyeru masyarakat mengukuhkan ikatan persaudaraan, mengeratkan silaturahim, serta menyubur nilai kasih sayang dan perpaduan.

"Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalan raya dan utamakan keselamatan diri serta keluarga. Saya juga menyeru agar kita tidak lupakan golongan yang memerlukan dalam kita menyambut kegembiraan ini," katanya.

Di TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru rakyat di negeri itu supaya menggunakan ruang lebaran yang mulia untuk kunjung-mengunjungi bagi merapatkan lagi silaturahim, saling memaafkan dan melupakan segala sengketa.

"Marilah kita sama-sama memberi perhatian kepada mereka yang kurang bernasib baik, terutama pada musim perayaan ini, termasuk saudara-saudara kita di bumi Palestin.

“Semoga Aidilfitri kali ini membawa sejuta rahmat dan keberkatan kepada kita semua. Saya juga mendoakan agar Terengganu terus maju dan berjaya serta rakyatnya sentiasa dalam kesejahteraan dan keamanan," katanya.

Di KEDAH, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula mengingatkan anak-anak Kedah di perantauan yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya menjaga keselamatan di jalan raya bagi mengelakkan kemalangan pada musim perayaan ini.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi Facebooknya menasihatkan masyarakat agar mengelakkan pembaziran sempena Aidilfitri, selain mengajak mereka menitipkan doa untuk kesejahteraan insan yang telah kembali ke rahmatullah.

Di PERLIS, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyeru umat Islam agar menyambut perayaan ini dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.

Di KELANTAN, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud juga meminta umat Islam menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran serta terus berdoa dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

Sementara itu, Premier SARAWAK, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru agar rakyat negeri itu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk terus mengekalkan semangat toleransi dan saling menghormati demi kemajuan bersama.

Beliau turut mengucapkan rasa syukur kerana rakyat Sarawak dapat meraikan hari yang mulia ini dalam keadaan aman, damai dan penuh keceriaan serta menyifatkan kewujudan suasana harmoni itu merupakan hasil usaha bersama semua rakyat.

- BERNAMA

Jemaah Menteri ajak rakyat manfaatkan Aidilfitri kukuh keharmonian, perpaduan



Jemaah Menteri ajak rakyat manfaatkan Aidilfitri kukuh keharmonian, perpaduan

Bernama

31/03/2025


Fahmi mengajak semua untuk terus memelihara keharmonian dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan memperkukuh hubungan sesama rakyat Malaysia.


KUALA LUMPUR: Barisan Jemaah Menteri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam yang menyambut ketibaan Syawal hari ini, sambil mengajak rakyat supaya terus mengukuhkan ikatan silaturahim dan perpaduan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melalui ucapan yang dikongsi di akaun media sosialnya berkata, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, keharmonian perlu terus dipelihara.

"Alhamdulillah, kita telah selesai menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Kini, dengan penuh rasa syukur, kita menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari yang penuh kegembiraan dan kemenangan buat umat Islam di seluruh dunia.

"Marilah kita terus memelihara keharmonian dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan memperkukuh hubungan sesama rakyat Malaysia. Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang merayakannya. Maaf zahir dan batin," katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak rakyat supaya menghargai pengorbanan anggota tentera yang sanggup bertugas jauh dari keluarga dan orang tersayang demi memastikan keselamatan serta kebebasan negara.

"Marilah dalam meraikan Hari Raya ini, kita menghargai perwira negara dengan meluangkan sedikit masa untuk menghantar doa agar mereka selamat dan terus dilindungi semasa menjalankan tugas. Kepada semua anggota Angkatan Tentera Malaysia, di mana sahaja mereka berada, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Malaysia bangga dan berterima kasih kepada anda semua," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mengingatkan rakyat supaya memastikan keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggalkan terjaga ketika pulang ke kampung untuk menyambut lebaran mahupun bercuti.

"Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah. Keselamatan nyawa adalah segalanya. Ingat, keluarga kita menanti untuk menyambut dengan penuh kegembiraan, tentunya tidak mahu ia berakhir dengan tragedi.

"Polis Diraja Malaysia telah membekukan cuti 6,800 anggota khusus bagi mengawal kelancaran trafik serta membantu mereka yang pulang ke kampung," katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam ucapannya di Facebook pula mengingatkan rakyat supaya menyambut Syawal dengan penuh kesederhanaan, tidak membazir serta berbelanja mengikut kemampuan.

"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para peladang, penternak dan nelayan yang telah bekerja keras memastikan sumber makanan negara sentiasa cukup dan terjamin. Kecekalan, ketekunan serta pengorbanan anda amat dihargai dan menjadi tunjang kepada keterjaminan makanan negara," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri, ia mengingatkannya kepada hari kelahirannya.

"Saya lahir pada 1 Syawal, sekitar waktu orang ramai menunaikan solat hari raya. Jadi, setiap tahun, Hari Raya menjadi peringatan bahawa saya semakin tua. Saya berdoa semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua dan semoga kita bersederhana dalam menyambut Hari Raya," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi video ucapan yang dimuat naik di Facebook berharap amalan kunjung-mengunjung pada Syawal ini dapat dimanfaatkan ikatan ukhuwah, saling bermaafan serta mengeratkan perpaduan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan Hari Raya Aidilfitri beliau memuat naik video membakar lemang dengan kapsyen:

"Bantu anak-anak buah bakar lomang (lemang) di belakang rumah di kampung. Rendang itek (itik) sudah masak tengah hari tadi."

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut merakamkan ucapan Aidilfitri di laman media sosial masing-masing.

-- BERNAMA

Kanak-kanak meninggal dunia kemalangan di Terowong Menora



Kanak-kanak meninggal dunia kemalangan di Terowong Menora

Bernama

31/03/2025


Seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 264. 7 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan di Terowong Menora, petang semalam. - Gambar Facebook Balai Bomba Ipoh


IPOH: Seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 264. 7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan di Terowong Menora, petang semalam.

Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh (BPP) dalam laman Facebooknya memaklumkan, kemalangan itu turut menyebabkan seorang wanita dan lelaki cedera parah.

"Pos kawalan Menora menerima panggilan kecemasan pada 6.45 petang.

"Seorang kanak-kanak didapati meninggal dunia di tempat kejadian," menurut kenyataan itu.

Mangsa yang parah diberi rawatan awal oleh unit EMRS dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, video nahas berkenaan tular di media sosial.

-- BERNAMA



30 March 2025

Tiga maut, empat cedera dalam kemalangan lima kenderaan di Bentong



Tiga maut, empat cedera dalam kemalangan lima kenderaan di Bentong

Bernama

30/03/2025


Pihak bomba mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mereka kepada polis untuk tindakan lanjut. - Sinar Harian


KUANTAN: Tiga maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 50.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Kuantan, berhampiran Kampung Lentang, Bentong, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah lori lima tan, Honda Accord, Proton Waja, Proton Saga dan sebuah kenderaan jenis Subaru pada pukul 4.55 petang.

"Terdapat seorang lelaki dan dua wanita dewasa yang meninggal dunia di dalam Honda Accord dan kematian mereka telah disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata pihak bomba mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mereka kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Tiga lagi mangsa dalam Honda Accord, iaitu seorang wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan, mengalami kecederaan.

"Mereka telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bentong," katanya.

Sementara itu, pemandu lori turut mengalami kecederaan manakala lapan individu lain yang merupakan pemandu dan penumpang kenderaan lain terselamat dalam kemalangan tersebut.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong terlibat dalam operasi menyelamat.

- BERNAMA




Muslims in Singapore celebrate Eid al-Fitr on March 31



Muslims in Singapore celebrate Eid al-Fitr on March 31

30/03/2025


Mufti of Singapore Dr Nazirudin Mohd Nasir announced that Muslims in Singapore will celebrate Aidilfitri on Monday (March 31). - Decorative image/Pixabay


SINGAPORE: Mufti of Singapore Dr Nazirudin Mohd Nasir announced that Muslims in Singapore will celebrate Aidilfitri on Monday (March 31).

He made the announcement in a video clip uploaded on the Islamic Religious Council of Singapore (MUIS) social media on Sunday.

"According to the hisab count, based on the count of imkanur rukyah agreed by MABIMS member countries (Ministers of Religious Affairs of Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia and Singapore), the moon of Syawal was above the horizon of Singapore for 48 minutes after sunset this afternoon. "Therefore, I am pleased to declare that the beginning of the month of Syawal in the year 1446H falls tomorrow, Monday equivalent to March 31, 2025," he said.

He also hoped that Muslims would be blessed with blessings and victory as a result of all the acts of worship and charity that they had worked on during the last Ramadan.

Mohamad Hasan laksana misi kemanusiaan ke Myanmar, nyatakan solidariti Malaysia



Mohamad Hasan laksana misi kemanusiaan ke Myanmar, nyatakan solidariti Malaysia

Bernama

30/03/2025


Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad berikutan gempa bumi di Myanmar dan Thailand. - Gambar/ Facebook Dato Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan


KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, akan melaksanakan misi kemanusiaan ke Myanmar dalam masa terdekat ekoran gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah tengah negara itu pada Jumaat, mengorbankan lebih 1,600 nyawa.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa lawatan itu bertujuan untuk menzahirkan keprihatinan dan solidariti Malaysia kepada rakyat Myanmar, serta menyelaras bantuan tambahan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

Laporan media menyebut angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter pada Jumaat telah meningkat kepada lebih 1,600 orang, manakala lebih 3,400 lagi cedera.

Pada Ahad, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menganjurkan Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad berikutan gempa bumi di Myanmar dan Thailand.

Mohamad mempengerusikan mesyuarat itu menerusi sidang video, yang turut dihadiri Menteri-Menteri Luar ASEAN atau wakil mereka serta Menteri Luar Timor-Leste sebagai Pemerhati.




Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, serta Menteri Luar Timor-Leste sebagai pemerhati.

Dalam ucapan pembukaannya, Mohamad merakamkan ucapan takziah yang mendalamdan mengulangi komitmen bersama ASEAN untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada kedua-dua negara yang terjejas.

Mohamad berkata ASEAN akan bekerjasama rapat dengan Myanmar dan Thailand dalam menyokong usaha bantuan, berdasarkan keutamaan yang telah dikenal pasti.

"ASEAN juga mesti menyeru rakan-rakan antarabangsa dan masyarakat global untuk berdiri bersama kita dalam saat krisis ini.

"Kami mengalu-alukan semua bentuk bantuan yang boleh membantu meringankan penderitaan dan mempercepatkan usaha pemulihan.

"Kami menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama dengan mekanisme ASEAN yang berkaitan, khususnya Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AHA Centre), bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan berkesan," katanya.

Sementara itu, Mohamad mengalu-alukan tindakan pantas ASEAN melalui AHA Centre dalam menyokong usaha bantuan segera.

"Bekalan bantuan trauma dari pusat logistik kami sudah dihantar ke Myanmar dan kami akan terus menilai serta memberi respons terhadap keperluan mendesak di lapangan," katanya.

Beliau turut menegaskan kesiapsiagaan Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT) untuk digerakkan segera, selaras dengan pemantauan berterusan terhadap keadaan semasa dan keperluan operasi bantuan.

Beliau menambah bahawa komitmen Malaysia dalam memberikan bantuan turut dibuktikan dengan penghantaran pantas sumber negara.

Pada pagi ini, dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas ke Naypyidaw membawa 50 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta peralatan penting untuknmenyokong operasi mencari dan menyelamat.

Penghantaran itu diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan sokongan Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon.

Dalam mesyuarat pada Ahad, Malaysia menggesa semua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan keganasan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, tanpa halangan, serta demi keselamatan para petugas kemanusiaan.

Seruan itu turut disokong oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN yang lain.

"Demi kepentingan rakyat Myanmar, saya menggesa semua pihak di Myanmar untuk bersatu dan bekerjasama dalam usaha pemulihan serta pembinaan semula.

"Saya juga menyeru semua pihak di Myanmar untuk bekerjasama dengan Pengerusi ASEAN dan Negara-Negara Anggota lain ke arah sebuah Myanmar yang aman, stabil dan makmur.

"Keluarga ASEAN akan terus berdiri teguh dan bekerjasama dengan anda ke arah matlamat ini," katanya.

-- BERNAMA

Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilftri esok, iaitu pada 31 Mac 2025

 















Umat Islam di Malaysia akan menyambut tarikh 1 Syawal 1446H sekali gus Hari Raya Aidilfitri pada Isnin, 31 Mac 2025.

Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 31 Mac 2025."

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

Terdahulu, aktiviti mencerap anak bulan dijalankan di 29 lokasi di seluruh negara. Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Syawal adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Polis lepas tembakan, tahan tiga lelaki cuba rempuh anggota



Polis lepas tembakan, tahan tiga lelaki cuba rempuh anggota

Bernama

30/03/2025


Saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dengan dua daripadanya memiliki rekod berkaitan narkotik. - Gambar hiasan


KUCHING: Polis berjaya memberkas tiga lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Green di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata kesemuanya berusia 39 hingga 43 tahun dan menaiki kereta jenis Mitsubishi Triton serta Perodua Bezza dikesan kira-kira 3.20 pagi oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.

"Anggota polis mengarahkan kedua-dua pemandu memberhentikan kenderaan, namun mereka enggan menyebabkan anggota polis mengejar Mitsubishi Triton itu hingga ke kawasan taman perumahan berhampiran.

"Apabila tiba di jalan itu (Jalan Green), pemandu kereta itu bertindak agresif dengan membuat pusingan U dan cuba merempuh tiga anggota polis yang berada di atas jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mempertahankan diri, anggota polis telah melepaskan sedas tembakan ke arah Mitsubishi Triton itu menyebabkan kenderaan terbabit terbabas, sekali gus berjaya menahan mereka.

Merbin berkata saringan air kencing mendapati kesemuanya positif dadah dengan dua daripadanya memiliki rekod berkaitan narkotik.

"Lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital. Polis turut merampas Mitsubishi Triton itu serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah," katanya.

Beliau berkata kesemuanya kini direman hingga 3 April untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Polis katanya sedang mengesan pemandu Perodua Bezza merah yang berjaya melarikan diri, justeru orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerusi talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Kanan ASP Chris Olsen Ramlee 013-8607572.

-- BERNAMA

'Abang Belon' akan diberi bimbingan dapatkan lesen penjaja selepas pulih



'Abang Belon' akan diberi bimbingan dapatkan lesen penjaja selepas pulih

Bernama

30/03/2025


Pengerusi MPN PKR Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin ketika melawat peniaga belon yang sedang dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. - Bernama


SERDANG: Penjaja belon Muhamad Za'imuddin Azlan yang didakwa dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diberikan bimbingan dan sokongan untuk mendapatkan lesen penjaja selepas beliau pulih kelak, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata ia bagi membantu penjaja yang digelar 'abang belon' itu dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu, mampu menyara kehidupannya dan keluarganya.

"Kita dah bagi jaminan bahawa selepas pulih, dia boleh jumpa saya untuk kita (MPN) bantu mendapatkan lesen penjaja," katanya kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Za'imuddin, 29, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, di sini, hari ini.

Rakaman video memaparkan pergelutan antara anggota penguat kuasa DBKL dengan Muhamad Za'imuddin itu yang tular di media sosial mendapat reaksi pelbagai dari orang ramai.

DBKL dalam kenyataan sebelum ini berkata insiden itu berlaku susulan penjaja berkenaan enggan memberi kerjasama mematuhi arahan penguat kuasa selain didakwa bertindak agresif terhadap anggota bertugas.

Merujuk kepada keadaan Za'imuddin, Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata laporan perubatan penuh akan dikeluarkan pihak hospital, namun Muhamad Za'imuddin yang masih terlantar boleh berinteraksi secara jelas dengan orang lain.

Azman yang turut bersimpati dengan keadaan mangsa bagaimanapun mengingatkan golongan penjaja mahupun anggota penguat kuasa untuk beroperasi dan menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang ditetapkan.

"Cuma kebanyakan peniaga 'rambo' ini, mereka tidak tahu cara mohon (lesen), sebab itu kita kena bekerjasama dengan persatuan penjaja atau lain-lain badan bukan kerajaan untuk bantu mereka yang menjaja ini termasuk DBKL, (untuk) bagaimana permudahkan mereka dapatkan lesen, tapi mesti di kawasan sesuai," katanya.

Beliau turut menyampaikan pesanan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Muhamad Za'imuddin yang menasihatkannya untuk bersabar dan menyerahkan insiden itu untuk disiasat pihak berkuasa.

-- BERNAMA

ICQS Rantau panjang sesak, ribuan perantau Malaysia-Thailand pulang beraya



ICQS Rantau panjang sesak, ribuan perantau Malaysia-Thailand pulang beraya

Bernama

30/03/2025


Jumlah warga Thailand yang keluar masuk di kompleks itu mencecah 18,934 orang sejak 23 Mac hingga semalam. - Bernama


KOTA BHARU: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mengalami kesesakan sejak awal pagi tadi, berikutan orang ramai dari Thailand dan Malaysia mula pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah berkata kesesakan ini dijangka berlarutan sehingga malam perayaan.

Beliau berkata jumlah warga Thailand yang keluar masuk di kompleks itu mencecah 18,934 orang sejak 23 Mac hingga semalam, sekali gus menyebabkan kesesakan ketara di pintu sempadan berkenaan.

"Sejak 7.30 pagi tadi, pengunjung berbaris panjang, dan ada ketika hampir empat kilometer dari pintu masuk.

"Situasi ini memaksa pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan mempercepatkan pemeriksaan bagi melancarkan pergerakan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beberapa warga Thailand yang ditemui berkongsi keterujaan mereka untuk kembali ke kampung halaman.

Jirawat Somchai, 35, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, dia hanya dapat pulang setahun sekali dan kesesakan di pintu sempadan sudah menjadi kebiasaan.

"Setiap tahun, keadaan memang sesak begini, tapi saya tetap teruja kerana akhirnya dapat bertemu keluarga," katanya yang membawa dua bagasi besar berisi 'buah tangan' untuk keluarganya di Pattani.

Seorang lagi pekerja Nuanthip Saensuk, 28, berkata dia dan rakan-rakannya sanggup beratur lama demi memastikan mereka dapat melintasi sempadan sebelum malam.

"Kalau lambat, nanti semakin ramai orang dan perjalanan akan jadi lebih panjang. Kami sampai sini sejak pagi tadi, tapi masih belum dapat masuk," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi sehingga pukul 4 petang tadi mendapati suasana di ICQS Rantau Panjang begitu sibuk dengan aliran keluar masuk kenderaan yang berterusan.

Di laluan pejalan kaki, orang ramai berbaris panjang menunggu giliran melepasi pemeriksaan. Ada yang sabar berdiri di bawah terik matahari, sementara sebahagian lagi duduk di atas bagasi besar yang bertimbun di sekeliling mereka.

Kanak-kanak kecil dilihat berlari-lari di celah kelompok orang dewasa, sementara ibu bapa mereka cuba mengawal keadaan agar tidak terpisah dalam kesesakan yang semakin memuncak.

Bagi yang baru tiba, wajah mereka jelas memaparkan keletihan setelah menempuh perjalanan jauh. Namun, semangat untuk pulang beraya bersama keluarga tetap mengatasi segala kepayahan.

Bagi mengurangkan kelewatan dan memastikan kelancaran proses keluar masuk, pihak berkuasa mengaktifkan operasi tambahan, memperluaskan waktu operasi sempadan dan membuka lebih banyak kaunter.

-- BERNAMA

Peniaga, PBT perlu bertanggungjawab dalam menjalankan peranan - Sultan Pahang



Peniaga, PBT perlu bertanggungjawab dalam menjalankan peranan - Sultan Pahang

Bernama

30/03/2025


Al-Sultan Abdullah bertitah peniaga di Pahang perlu mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang ditetapkan, manakala penguat kuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan. - Gambar fail


KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.

Al-Sultan Abdullah bertitah peniaga di Pahang perlu mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang ditetapkan, manakala penguat kuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil iaitu menggunakan budi bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

"Dalam keghairahan untuk menyambut lebaran pastinya peniaga mengambil kesempatan untuk melipatgandakan sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.

"Apa jua bentuk urus niaga yang dijalankan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan. PBT pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak," titah baginda yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah sekiranya berlaku sesuatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan.

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon Muhammad Zaimuddin Azlan yang terlibat dalam insiden dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat.

Simpati dengan keadaan menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Muhammad yang tiba pada pukul 12.30 tengah hari tadi turut bertanya keadaan kesihatan peniaga berkenaan dan menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang kepadanya.

Muhammad Zaimuddin yang lebih dikenali sebagai 'Abang Belon', kini dirawat di Hospital Serdang, Selangor akibat kecederaan selepas insiden berkenaan.

-- BERNAMA

Gempa bumi susulan 5.1 skala Richter landa utara Mandalay, Myanmar



Gempa bumi susulan 5.1 skala Richter landa utara Mandalay, Myanmar

Bernama

30/03/2025


Sebuah pagoda mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi kuat di Mandalay, Myanmar, pada Jumaat. - Gambar/ Reuters


KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 5.1 pada skala Richter melanda kira-kira 17 batu utara Mandalay, Myanmar pada petang Ahad selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan rantau itu dua hari sebelumnya.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa yang berlaku berhampiran bandar kedua terbesar Myanmar itu berlaku ketika siri gegaran susulan yang melanda Myanmar sejak gempa utama pada Jumaat.

USGS turut menjelaskan bahawa pusat gempa bumi terbaharu itu adalah cetek, meningkatkan kemungkinan gegaran kuat dirasai di darat.

Menurut USGS, satu lagi gegaran susulan berukuran 4.2 pada skala Richter turut melanda berhampiran Shwebo, kira-kira 68 batu barat laut Mandalay pada pagi Ahad.

Gegaran berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan direkodkan 17 kilometer di timur Shwebo di Wilayah Sagaing.

Menurut laporan media antarabangsa, setakat ini tiada laporan segera mengenai korban jiwa atau kerosakan besar akibat kejadian itu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Oslo viewed '8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan | BES' 27 secs ago
A visitor from Shah alam viewed '8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan | BES' 46 secs ago
A visitor from Kuala lumpur viewed '8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan | BES' 1 min ago
A visitor from Kuala lumpur viewed '8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan | BES' 1 min ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 2 mins ago
A visitor from Singapore viewed 'SRBJ dinaik taraf berperingkat libat peruntukan le' 22 mins ago
A visitor from Subang jaya viewed 'BEST FBKL' 30 mins ago
A visitor from Seri kembangan viewed 'Confirm Buka Tudung Tayang Buah, Zarina Anjoulie N' 35 mins ago
A visitor from Singapore viewed 'First Mermaid Pageant in Singapore, Miss Mermaid S' 54 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Ibu bapa disaran main peranan untuk jayakan PLKN 3' 1 hr 14 mins ago