Translate

31 March 2025

Bulan Sabit Merah Palestin dapatkan semula 14 mayat susulan serangan Israel di selatan Gaza



Bulan Sabit Merah Palestin dapatkan semula 14 mayat susulan serangan Israel di selatan Gaza

Bernama

31/03/2025


Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mendapatkan semula 14 mayat di Rafah, termasuk petugas perubatan dan anggota pertahanan awam, selepas serangan udara Israel. -Gambar fail/Reuters


GAZA CITY: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada Ahad mengesahkan bahawa ia telah mendapatkan semula 14 mayat di Rafah, selatan Gaza, termasuk lapan petugas perubatannya, lima anggota pertahanan awam, dan seorang kakitangan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas serangan udara Israel kira-kira seminggu lalu.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mendapatkan semula 14 mayat di Rafah, termasuk petugas perubatan dan anggota pertahanan awam, selepas serangan udara Israel.

Organisasi itu melahirkan rasa terkejut terhadap serangan berterusan ke atas kakitangannya dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pelanggaran berat Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan sebahagian mayat ditemukan dalam keadaan terikat dan ditembak, serta menggesa siasatan segera terhadap jenayah ini.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa pasukan penyelamat masih giat mencari lebih banyak mayat di lokasi kejadian, meskipun berdepan cabaran besar akibat serangan berterusan Israel terhadap kru perubatan dan kemanusiaan.

Sebelum ini, organisasi itu memaklumkan bahawa nasib sembilan petugasnya masih tidak diketahui selama lapan hari berturut-turut selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka ketika mereka menjalankan tugas kemanusiaan di Rafah.

Petugas perubatan itu menjadi sasaran ketika dalam perjalanan memberikan bantuan kecemasan kepada individu yang cedera akibat serangan di kawasan Al-Hashashin, dengan beberapa daripada mereka mengalami kecederaan sebelum terputus hubungan kira-kira seminggu lalu, menurut kenyataan itu.

Bulan Sabit Merah Palestin melahirkan "rasa terkejut" terhadap serangan berterusan ke atas kakitangannya, meskipun mereka memakai lambang perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa.

Serangan itu disifatkan sebagai "jenayah terancang" dan "pelanggaran terang-terangan" terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang mewajibkan tentera Israel menghormati serta memudahkan tugas pasukan perubatan tanpa mengancam nyawa mereka.

Organisasi itu sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa untuk menunaikan tanggungjawab undang-undang mereka dan mengambil langkah konkrit bagi menghentikan "pelanggaran berat" Israel terhadap pasukan perubatan serta orang awam Palestin.

Ia menekankan keperluan untuk memastikan Israel bertanggungjawab mengikut prinsip dan ketetapan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia turut mengenal pasti paramedik yang terkorban sebagai Mustafa Khafaja, Ezzedine Shaat, Saleh Mauamer, Rafat Radwan, Mohamed Bahlul, Ashraf Abu Labda, Mohamed al-Heila, dan Raed al-Sharif.

Kenyataan itu menuntut agar pelaku jenayah perang dibawa ke muka pengadilan dan satu siasatan segera dijalankan bagi memastikan keadilan bagi mangsa serta menentukan nasib paramedik yang masih hilang, Asaad al-Nassasra.

Dengan perkembangan ini, jumlah petugas Bulan Sabit Merah yang terkorban akibat serangan Israel ketika menjalankan tugas kemanusiaan di Gaza meningkat kepada 27 orang.

Kementerian Kesihatan Gaza turut menggesa badan dan organisasi antarabangsa untuk menjalankan "siasatan segera terhadap jenayah ini dan memastikan tentera Israel bertanggungjawab."

Kementerian itu mengesahkan bahawa sebahagian daripada mayat yang ditemukan dalam keadaan terikat, ditembak di dada, dan dikuburkan di dalam lubang yang dalam bagi menyembunyikan mereka.

Hamas pula melaporkan bahawa paramedik yang hilang telah ditemukan dalam keadaan bergari dan dikebumikan dalam satu liang lahad, menyifatkannya sebagai "kes pembunuhan kolektif terbesar yang disasarkan terhadap pasukan kesihatan."

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Batu caves viewed 'Wanita Pandu Kereta Lawan Arus Ditahan Polis | BES' 26 secs ago
A visitor from Subang jaya viewed 'BEST FBKL' 14 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'AKPS perlu masa penyesuaian untuk laksana fungsiny' 15 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Keputusan pemilihan cabang PKR dimuktamad selewat-' 16 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Hakim Danish raih podium di GP Sepanyol | BEST FBK' 21 mins ago
A visitor from Los angeles viewed 'KKM pantau rapi tarif baharu AS, fokus peranti per' 30 mins ago
A visitor from Alexandria viewed 'Isu kenaikan ETAP petugas kesihatan dijangka dimuk' 30 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Wanita Pandu Kereta Lawan Arus Ditahan Polis | BES' 54 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Sultan Pahang berkenan menyaksikan penutup Eksesai' 1 hr ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'BN umum pertahan Ayer Kuning' 2 hrs 19 mins ago