Translate

31 March 2025

Ketua kerajaan negeri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri, ajak rakyat kukuh silaturahim

 




Ketua kerajaan negeri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri, ajak rakyat kukuh silaturahim

Bernama

31/03/2025


Amirudin ajak umat Islam meneruskan segala amal kebajikan seperti menyantuni golongan fakir miskin dan anak yatim serta mereka yang kurang bernasib baik seiring dengan kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan sambutan Aidilfitri.


KUALA LUMPUR: Ketua-ketua kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di seluruh negara dan mengajak rakyat supaya terus menjaga dan mengukuhkan silaturahim.

Di SELANGOR, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengajak umat Islam meneruskan segala amal kebajikan seperti menyantuni golongan fakir miskin dan anak yatim serta mereka yang kurang bernasib baik seiring dengan kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan sambutan Aidilfitri hari ini.

Beliau berkata, amalan sifat kesederhanaan wajar dihayati dan ditampilkan menerusi tingkah laku dan akal budi agar nilai akhlak baik itu dapat diwarisi oleh anak-anak, seterusnya melahirkan generasi berakhlak mulia dan bertamadun.

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap cuti umum tiga hari sempena Aidilfitri dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh seluruh warga Melaka dalam meraikan Syawal bersama keluarga terutama yang pulang daripada perantauan.

"Bukan itu saja, marilah kita sama-sama meraikan Majlis Rumah Terbuka MADANI peringkat nasional yang akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 5 April depan yang akan dihadiri Yang Dipertuan Negeri Melaka dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan kerajaan MADANI," katanya.

Di PAHANG, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri menyeru masyarakat mengukuhkan ikatan persaudaraan, mengeratkan silaturahim, serta menyubur nilai kasih sayang dan perpaduan.

"Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalan raya dan utamakan keselamatan diri serta keluarga. Saya juga menyeru agar kita tidak lupakan golongan yang memerlukan dalam kita menyambut kegembiraan ini," katanya.

Di TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru rakyat di negeri itu supaya menggunakan ruang lebaran yang mulia untuk kunjung-mengunjungi bagi merapatkan lagi silaturahim, saling memaafkan dan melupakan segala sengketa.

"Marilah kita sama-sama memberi perhatian kepada mereka yang kurang bernasib baik, terutama pada musim perayaan ini, termasuk saudara-saudara kita di bumi Palestin.

“Semoga Aidilfitri kali ini membawa sejuta rahmat dan keberkatan kepada kita semua. Saya juga mendoakan agar Terengganu terus maju dan berjaya serta rakyatnya sentiasa dalam kesejahteraan dan keamanan," katanya.

Di KEDAH, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula mengingatkan anak-anak Kedah di perantauan yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya menjaga keselamatan di jalan raya bagi mengelakkan kemalangan pada musim perayaan ini.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi Facebooknya menasihatkan masyarakat agar mengelakkan pembaziran sempena Aidilfitri, selain mengajak mereka menitipkan doa untuk kesejahteraan insan yang telah kembali ke rahmatullah.

Di PERLIS, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyeru umat Islam agar menyambut perayaan ini dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.

Di KELANTAN, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud juga meminta umat Islam menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran serta terus berdoa dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

Sementara itu, Premier SARAWAK, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru agar rakyat negeri itu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk terus mengekalkan semangat toleransi dan saling menghormati demi kemajuan bersama.

Beliau turut mengucapkan rasa syukur kerana rakyat Sarawak dapat meraikan hari yang mulia ini dalam keadaan aman, damai dan penuh keceriaan serta menyifatkan kewujudan suasana harmoni itu merupakan hasil usaha bersama semua rakyat.

- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'Wanita menari separuh bogel cemar imej Batu Fering' 6 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'China's President Xi Jinping arrives in Kuala Lump' 19 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'PENGUATKUASA MBI DITUMBUK, DIHALANG DALAM OPERASI ' 22 mins ago
A visitor from Putrajaya viewed 'Chinese President Xi begins 3-day state visit to M' 33 mins ago
A visitor from Ashburn viewed 'New Cabinet List As Announced by PM Anwar Ibrahim ' 40 mins ago
A visitor from Ashburn viewed 'President Xi Jinping concludes three-day state vis' 41 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'PENGUATKUASA MBI DITUMBUK, DIHALANG DALAM OPERASI ' 46 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'PENGUATKUASA MBI DITUMBUK, DIHALANG DALAM OPERASI ' 1 hr 5 mins ago
A visitor from Hemel hempstead viewed 'Malaysia-China sign 31 MoUs, exchange notes in str' 1 hr 7 mins ago
A visitor from Berlin viewed 'Proton e.MAS 7 kekal model EV paling laris di Mala' 1 hr 46 mins ago