Peranan Mohamad Norza berubah di RTG, lindungi daripada ketidakstabilan politik - Hannah
Bernama
24/03/2025

Mohamad Norza (kanan) dan Hannah Yeoh, sebelum ini merupakan Pengerusi Bersama RTG sejak program itu diperkenal pada awal 2023. - Bernama
BANGI: Keputusan penyenaraian Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku timbalan pengerusi Road to Gold (RTG), bertujuan melindungi program tersebut daripada sebarang ketidakstabilan politik.
Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sebelum ini merupakan Pengerusi Bersama RTG sejak program itu diperkenal pada awal 2023.
Bagaimanapun menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, menyaksikan Hannah bergelar pengerusi dan dibantu Mohamad Norza selaku timbalan pengerusi.
"Seperti yang saya jawab di Parlimen, ini bagi memastikan tiada gangguan kepada program RTG sekiranya timbul isu politik.
"Sekiranya berlaku ketiadaan menteri kerana isu politik, timbalan pengerusi akan mengetuai dan memastikan mesyuarat RTG berjalan tanpa gangguan," katanya kepada pemberita pada Majlis Aspirasi Rakan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di sini hari ini.
Terdahulu, KBS turut mengumumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS) Mae Chen, sebagai ahli jawatankuasa program RTG bagi penggal 2025-2026.
Pelantikan dua tokoh terkenal dalam arena sukan tanah air itu mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), pada Khamis lepas.
-- BERNAMA