Banjir di Johor, Sabah beransur pulih, jumlah mangsa di PPS Johor terus berkurang
Bernama
25/03/2025

Pelbagai barangan yang musnah akibat bencana bah dilonggokan mangsa banjir di hadapan rumah untuk dikutip oleh syarikat konsesi ketika tinjauan di Kampung Seri Serdang, Johor Bahru, 24 Mac 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 1,991 mangsa banjir masih ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sabah, berbanding 2,593 orang yang direkodkan malam tadi.
Di JOHOR, situasi banjir di negeri itu semakin baik dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 1,853 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,455 semalam dan semuanya ditempatkan di 20 PPS di lima daerah terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 680 orang, diikuti Batu Pahat (621), Pontian (410), Kluang (74) dan Kota Tinggi pula 68 orang.
"Dua PPS iaitu Dewan Majlis Perbandaran Kluang, Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kahang di Kluang ditutup malam tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah banjir mulai surut dan keadaan di kawasan kediaman selamat," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah kecuali Batu Pahat yang dijangka mendung pada pagi ini.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal 138 orang daripada 41 keluarga di Beaufort dan ditempatkan di PPS Dewan Selangon, pagi ini.
Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan lapan kampung terjejas banjir di Beaufort.
-- BERNAMA