MAHB bersedia mengukuhkan rangkaian, sambungan di Routes Asia 2025
Bernama
25/03/2025

Menurut Megat Ardian, Routes Asia membentangkan peluang yang tidak ternilai kepada MAHB untuk berhubung dengan syarikat penerbangan sedia ada dan berpotensi. - Gambar hiasan/DagangNews
PERTH: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia untuk mengukuhkan rangkaian dan sambungannya di Routes Asia 2025, Perth, yang mana ia dijadualkan memenuhi matlamat 18 syarikat penerbangan yang menjadi sasaran.
Pengurus Besar Kanan, Strategi, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata syarikat itu mahu melibatkan diri dalam rangkaian yang berharga, mendapatkan pandangan mengenai trend pasaran terkini, mewujudkan perkongsian strategik selain mempengaruhi pembuat keputusan utama dalam sektor penerbangan dan pelancongan.
Katanya, Routes Asia membentangkan peluang yang tidak ternilai kepada MAHB untuk berhubung dengan syarikat penerbangan sedia ada dan berpotensi.
"Matlamat kami adalah untuk memupuk perbincangan mengenai pembangunan laluan dengan tujuan meningkatkan jumlah syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia, terutamanya di gerbang utama kami iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Kami akan mengadakan mesyuarat dengan 18 syarikat penerbangan yang disasarkan sepanjang acara tiga hari ini bagi menarik syarikat penerbangan baharu ke Malaysia," katanya.
Routes Asia merupakan acara penerbangan utama yang menghimpunkan lebih daripada 110 syarikat penerbangan dan 160 lapangan terbang dari komuniti pembangunan laluan Asia Pasifik.
Acara yang berlangsung dari 25-27 Mac di Pusat Konvensyen dan Pameran Perth, dijangka menarik lebih daripada 900 perwakilan termasuk wakil dari lapangan terbang, syarikat penerbangan, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan dalam penerbangan.
Routes Asia 2025 akan menjadi platform penting bagi pembuat keputusan untuk melibatkan diri dalam lebih 3,000 pertemuan mesyuarat, perkongsian amalan terbaik dan meneroka peluang perkhidmatan udara baharu. Ia juga akan menampilkan sesi persidangan yang diketuai oleh pakar-pakar antarabangsa dalam penerbangan serta pelancongan.
Megat Ardian menekankan bahawa acara ini memberikan peluang yang baik untuk pemain industri agar lebih memahami trend pasaran termasuk cabarannya melalui perbincangan yang diketuai oleh penceramah industri utama.
Acara itu juga sejajar dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), yang bertujuan untuk melonjakkan pendapatan pelancongan dan menempatkan sektor itu sebagai penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar.
Malaysia menyasarkan kedatangan 35.6 juta pelancong semasa TMM 2026.
Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan Pulau Pinang (PIA) telah disenarai pendek untuk Anugerah Pemasaran Routes Asia, masing-masing untuk kategori lebih daripada 20 juta kapasiti dan 5 hingga 20 juta kapasiti.
Sementara itu, Pengarah Acara Routes Steven Small menyatakan analisis menunjukkan lapangan terbang di destinasi tuan rumah sebelum ini mengalami pertumbuhan rangkaian kira-kira 5.7 peratus lebih tinggi daripada lapangan terbang setara dalam tempoh tiga tahun.
"Dengan pembuat keputusan dari lebih daripada 110 syarikat penerbangan terkemuka dan paling pesat di rantau ini, Routes Asia 2024 memberikan peluang yang unik bagi Perth untuk mempamerkan potensi pertumbuhannya yang luar biasa dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain pasaran utama.
"Acara itu telah mewujudkan impak yang signifikan terhadap sambungan udara di rantau ini. Lebih separuh daripada perkhidmatan udara di rantau ini dalam tempoh tiga tahun yang lalu telah dikaitkan dengan mesyuarat pada acara tersebut.
"Ini kerana kami menarik pembuat keputusan syarikat penerbangan sebenar, mereka yang mampu menentukan di mana pesawat terbang di rantau ini semasa acara itu di Perth," katanya.
-- BERNAMA