Mengenang Tun Abdullah: Pengebumian Negara di Makam Pahlawan selepas Zohor
Astro Awani
15/04/2025

Jenazah Allahyarham sebelum itu akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.00 pagi bagi tujuan pengurusan jenazah.
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disembahyangkan selepas solat Zohor dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Selasa.
Menurut kenyataan media oleh Jabatan Perdana Menteri, jenazah Allahyarham sebelum itu akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.00 pagi bagi tujuan pengurusan jenazah.
Menurut kenyataan itu, kerajaan turut memutuskan supaya Allahyarham diberikan Istiadat Pengebumian Negara sebagai penghormatan.
Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Bagi pelawat yang hadir, etika pemakaian telah ditetapkan.
Pelawat lelaki beragama Islam diminta mengenakan baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa corak serta bersongkok hitam.
Bagi yang bukan Islam, pakaian yang digalakkan ialah Lounge Suit gelap namun pakaian lain yang bersesuaian juga dibenarkan.
Untuk pelawat wanita beragama Islam, pemakaian yang disarankan adalah baju kurung atau kebaya labuh warna gelap bersama selendang atau tudung putih.
Manakala wanita bukan beragama Islam, pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih adalah digalakkan, selain pilihan pakaian lain yang bersesuaian.
Dalam pada itu, semua bangunan dalam radius 2 kilometer dari Masjid Negara diarahkan supaya mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai istiadat pengebumian sebagai tanda berkabung dan penghormatan kepada Allahyarham.