PRU Singapura 2025: Lapan parti layak guna masa siaran untuk kempen
Bernama
25/04/2025

Lebih 2.75 juta orang layak memilih apabila Singapura mengundi pada 3 Mei. - Gambar fail/Pixabay
SINGAPURA: Lapan daripada 11 parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) akan menyampaikan mesej kempen mereka melalui televisyen dan radio tidak berbayar pada 25 April dan 1 Mei.
Menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), semua parti layak untuk Siaran Politik Parti (PPB), yang diperuntukkan kepada parti yang meletakkan sekurang-kurangnya enam calon di bawah simbol parti yang diiktiraf.
Parti yang layak ialah Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP), Red Dot United (RDU), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP).
Calon bebas dan parti politik yang meletakkan kurang daripada enam calon tidak layak.
"Tempoh masa siaran yang diperuntukkan untuk setiap parti politik adalah berdasarkan jumlah calon yang diletakkan olehnya," kata IMDA dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dua PPB dijadualkan untuk PRU2025 -- pada 25 April dan 1 Mei. Siaran ini akan disiarkan di enam saluran televisyen Mediacorp dan 13 stesen radio yang dikendalikan oleh Mediacorp, SPH dan So Drama! Entertainment.
Kesemua parti boleh menyampaikan mesej kempen mereka dalam mana-mana atau semua empat bahasa rasmi iaitu Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.
PPB juga mesti mematuhi kod amalan sedia ada untuk televisyen dan radio. Ini termasuk memastikan rujukan kepada kaum dan agama dibentangkan dengan tepat dan dengan cara yang hormat.
Melainkan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) baharu Marine Parade-Braddell Heights, yang mana lima kerusi dimenangi PAP tanpa bertanding, sejumlah 206 calon akan merebut baki 92 kerusi di 32 kawasan pilihan raya.
Lebih 2.75 juta orang layak memilih apabila Singapura mengundi pada 3 Mei.
-- BERNAMA