Ada elemen pengabaian oleh ibu bapa Zayn Rayyan - Pegawai penyiasat
Bernama
24/04/2025

Ismanira dan Zaim Ikhwan didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa. - Gambar fail
PETALING JAYA: Seorang pegawai penyiasat dalam kes Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini terdapat elemen pengabaian yang timbul semasa siasatannya terhadap ibu bapa kanak-kanak autistik itu.
ASP Mohd Hafizee Ismail, 38, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata laporan polis yang dibuat ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf mendakwa dia tidak meninggalkan Zayn Rayyan berseorangan, tidak selari dengan siasatannya yang mendapati tertuduh berjalan di hadapan mendahului anaknya, menyebabkan wanita itu tidak dapat melihat keadaan mangsa yang berjalan di belakang.
"Tertuduh kedua (Ismanira) bertindak berjalan di hadapan, dan meninggalkan si mati di belakang menyebabkan dia tidak melihat keadaan anaknya di belakang, perbuatan itu seolah-olah membiarkan Zayn Rayyan tanpa pengawasan," katanya.
Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada hari ke-20 perbicaraan kes pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh.
Mohd Hafizee berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam Haresh Mahadevan yang menyatakan tindakan Ismanira memuat naik hebahan kehilangan Zayn Rayyan di media sosial menunjukkan tindakan seorang ibu yang bertanggungjawab, kerana hebahan itu dibuat agak lewat berbanding waktu Zayn dilaporkan hilang pada 12 tengah hari.
"Semalam peguam ada timbulkan masa pada 12.45 tengah hari hebahan tersebut dihantar oleh tertuduh kedua (Ismanira), saya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana sepatutnya tertuduh kedua boleh hantar hebahan tersebut lebih awal daripada masa yang dinyatakan peguam.
"Selain daripada itu, tertuduh kedua sepatutnya membuat laporan polis atau buat panggilan telefon kepada pihak polis memaklumkan berkenaan kejadian. Itu tindakan yang sepatutnya dibuat," katanya.
Pegawai polis itu turut menafikan dakwaan pihak pembelaan bahawa saksi-saksi yang dipanggil semasa siasatan kes ini telah diarahkan untuk menukar keterangan mereka.
"Semua saksi yang dipanggil tidak pernah diugut atau dipaksa untuk memberi rakaman percakapan, tujuan pihak polis memanggil saksi-saksi beberapa kali untuk mengesahkan beberapa maklumat lain yang diperolehi semasa siasatan.
"Seramai 27 saksi yang dipanggil semasa siasatan kompeten dengan keterangan diberikan, bergantung kepada mahkamah untuk menilai keterangan ini. Hasil siasatan saya mendapati ada elemen pengabaian dilakukan tertuduh-tertuduh ini," katanya.
Mohd Hafizee merupakan saksi pendakwaan terakhir yang memberi keterangan sebelum pihak pendakwaan menutup kesnya hari ini.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan 21 Julai ini untuk mengetahui nasib Ismanira dan suaminya Zaim Ikhwan Zahari sama ada mereka perlu dipanggil membela diri atau dilepaskan daripada tuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu.
Ismanira dan Zaim Ikhwan yang masing-masing berusia 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.
-- BERNAMA