Translate

25 March 2025

Dewan Negara ditangguh selepas lulus 10 RUU dalam tempoh 12 hari



Dewan Negara ditangguh selepas lulus 10 RUU dalam tempoh 12 hari

Bernama

25/03/2025


Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah (tengah) bergambar bersama ahli Dewan Negara tanda selesai Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama 12 hari bermula 3 Mac lepas, menyaksikan 10 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Dewan Negara, antaranya, meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024) dan RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 di bawah Kementerian Komunikasi serta RUU Kumpulan Wang YTAR (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Selain itu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 di bawah Jabatan Perdana Menteri turut diluluskan.

Turut diluluskan ialah RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 dan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Kewangan.

Hari terakhir persidangan menyaksikan RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, RUU Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 di bawah Kementerian Ekonomi, serta RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 di bawah Jabatan Perdana Menteri turut diluluskan.

Sementara itu, antara tumpuan persidangan kali ini adalah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, ke Dewan Negara bagi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 pada 20 Mac.

Perdana Menteri turut menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai pencapaian dan keberkesanan fungsi serta komposisi lembaga pengarah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menetapkan standard pencapaian dan integriti dalam operasi pelaburan serta perkhidmatan.

Pada 11 Mac, dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah. Mereka ialah Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman serta Setiausaha Organisasi DAP Selangor Tiew Way Keng.

Dewan Negara pada 13 Mac meluluskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dengan majoriti Ahli Dewan Negara bersetuju berbanding yang tidak bersetuju setelah ia dibahaskan selama lima hari bermula 3 Mac.

Sesi tersebut disusuli dengan penggulungan oleh 28 kementerian yang terlibat.

Antara isu yang dibangkitkan semasa sesi perbahasan adalah berkaitan perpaduan, sekolah vernakular, kecerdasan buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dan isu beras campur.

Pada 3 Feb lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Awang Bemee Awang dalam ucapan penangguhan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Dewan Negara kerana mengambil bahagian membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja serta kesemua RUU yang dibawa dari Dewan Rakyat.

Beliau berkata peranan jawatankuasa pilihan khas Dewan Negara juga terus diperkukuh dan dua penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara telah dibentangkan pada sesi kali ini, iaitu Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Anti Rasuah serta Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang.

"Usaha ini bukanlah usaha yang kecil. Ahli-ahli jawatankuasa telah menjalankan satu lagi komponen dan fungsi legislatif dalam proses semak dan imbang terhadap kuasa-kuasa eksekutif, khususnya berkaitan isu-isu yang telah diteliti," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beberapa senator yang menamatkan tempoh perkhidmatan, selain mengucapkan selamat maju jaya dengan jasa mereka akan dikenang oleh negara.

Beliau juga mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua senator dan mereka yang meraikannya serta menasihatkan agar berhati-hati di jalan raya semasa pulang ke kampung.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Indiana viewed 'UBER CEO Argues with UBER Driver | BEST FBKL' 1 hr 3 mins ago
A visitor from Michigan viewed 'Malaysian Woman Finds True Love, Flies to China To' 1 hr 3 mins ago
A visitor from Kansas viewed 'Pelakon Mira Filzah dipilih sebagai model di penta' 1 hr 12 mins ago
A visitor from Indiana viewed 'Konsert Anuar Zain Dibatalkan | BEST FBKL' 1 hr 20 mins ago
A visitor from Tennessee viewed 'North Korea accuses Malaysia of Colluding With Hos' 2 hrs 49 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Nation celebrates dedicati' 3 hrs 8 mins ago
A visitor from Oregon viewed 'Sepang boss Razlan Razali has urged Formula One’s ' 3 hrs 40 mins ago
A visitor from Florida viewed 'Malaysian Woman who was kidnapped and held hostage' 3 hrs 53 mins ago
A visitor from Louisiana viewed 'MANNY PACQUIAO & LUCAS MATTHYSSE COME FACE TO FACE' 3 hrs 59 mins ago
A visitor from Oregon viewed 'Daughter of Tycoon Tan Sri Khoo Kay Pen gave up he' 4 hrs 38 mins ago