Polis Selangor tangguh semua permit konsert berkuat kuasa serta-merta
Astro Awani
03/01/2025
Hussein Omar Khan berkata, penangguhan permit itu berkuat kuasa serta-merta. -Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Polis Selangor menangguhkan sementara semua permit penganjuran konsert di negeri itu susulan penyalahgunaan dadah di konsert Pinkfish di Bandar Sunway, pada sambutan ambang tahun baharu yang berakhir dengan kematian empat pengunjung.
Polis Selangor menangguhkan sementara semua permit penganjuran konsert di negeri itu susulan penyalahgunaan dadah di konsert Pinkfish di Bandar Sunway yang menyebabkan kematian empat pengunjung.
Konsert yang sudah diluluskan permit perlu memastikan tiada elemen terlarang seperti dadah dan alkohol dibawa masuk, serta kapasiti pengunjung terkawal.
Siasatan awal mendapati terdapat aktiviti penjualan pil ekstasi di dalam dan luar konsert tersebut, dan polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangguhan permit itu berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, kata beliau, konsert-konsert yang sudah diluluskan permit sebelum ini, penganjur perlu meyakinkan polis bahawa tiada elemen terlarang seperti dadah dan alkohol dibawa masuk, selain kapasiti pengunjung yang terkawal.
"Di masa hadapan dalam sebarang anjuran konsert, semua pihak penganjur perlu beri keyakinan bahawa mereka boleh mengawal sebarang kemasukan dadah dalam mana-mana konsert.
"Sekiranya elemen ini gagal dipatuhi, kita tidak boleh benarkan sebarang konsert dilakukan yang boleh menyebabkan berakhir dengan kematian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, jumlah kehadiran di konsert Pinkfish dianggarkan 16,000 termasuk 2,000 daripada adalah petugas konsert itu.
Jelasnya, pihak polis perlu melihat penganjuran apa sahaja konsert di masa depan, sekiranya dibenarkan perlu mematuhi jumlah peserta mengikut keluasan tempat, kedua dari segi keselamatan dan ketiga pengudaraan.
Sementara itu, beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal, polis mengesan terdapat aktiviti penjualan pil ekstasi di dalam dan luar konsert terbabit.
Sehubungan itu, polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat giat dilakukan.
Sebelum ini, empat warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun meninggal dunia semasa menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, 31 Disember lalu.
Berdasarkan siasatan awal, kesemua tujuh mangsa yang menerima rawatan termasuk empat daripada yang meninggal dunia dipercayai mengambil pil ekstasi.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).