Tular ”goyang gerudi” penganjur minta maaf
25 Ogos 2023, 12:01pm
BULETIN TV3
IPOH: Susulan insiden ‘tarian ekstrem’ oleh segelintir penonton pada konsert di depan Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena program PORT FEST 2023 minggu lalu, pengurusan agensi kreatif kerajaan negeri Perak, PORT (People of Remarkable Talents) tampil memohon maaf.
Dalam satu kenyataannya, PORT berkata agensi itu sebagai penganjur ingin menjelaskan bahawa insiden ‘tarian ekstrem’ terbabit sewaktu persembahan UBS Band adalah sesuatu yang bukan disengajakan atau diatur dan ianya berada di luar kawalan penganjur.
“Pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang ditularkan itu menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat. Kaedah untuk penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa sebeginidapat dielakkan pada masa hadapan,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, konsert sempena festival berkenaan heboh diperkatakan apabila tular rakaman video menunjukkan sekumpulan anak muda lelaki dan perempuan menari bersama-sama dalam keadaan kurang sopan seolah-olah ‘goyang gerudi’ tular di laman Twitter.
Adegan itu dikatakan berlaku semasa konsert pada malam kemuncak festival terbabit, seterusnya mencetuskan kritikan daripada warganet.
Rakaman tular itu turut menunjukkan sekumpulan lelaki memberikan isyarat untuk mengelilingi sekumpulan gadis yang bertudung untuk melihat giliran mereka membuat aksi seperti ‘goyang gerudi’.
Sementara itu, PORT dalam kenyataan sama, berkata PORT FEST 2023 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Ogos lalu merupakan sebuah festival untuk mengetengahkan pelbagai sisi seni kreatif dan budaya.
Katanya, tujuan utama penganjurannya adalah untuk memberi pendedahan serta peluang perniagaan kepada lebih 300 orang penggiat seni di Perak.
Menurutnya, PORT FEST 2023 berjaya menarik kehadiran kira-kira 20,000 orang pengunjung dan menjana manfaat kewangan sebanyak kira-kira RM450,000 menerusi jualan makanan, minuman, produk seni kreatif, acara persembahan, pameran dan pertandingan, serta penyewaan penginapan.