Translate

28 August 2023

Permohonan baharu DKD berjumlah RM36 juta dibuka September, RM21.6 juta dana telah disampaikan kepada 39 syarikat industri filem dan muzik

 Permohonan baharu Dana Kandungan Digital berjumlah RM36 juta dibuka September

28 Ogos 2023, 8:21pm



BULETIN TV3


PUTRAJAYA: Permohonan baharu Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM36 juta untuk syarikat industri kreatif akan dibuka seawal bulan depan.


Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata syarikat industri kreatif boleh membuat permohonan DKD menerusi Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV).


“DKD ini bagi pelaksanaan filem cereka, program TV, dokumentari, persembahan muzik, kebolehpasaran domestik, promosi dan pemasaran antarabangsa, insentif pembangunan aset digital (NFT), program pembangunan teknologi digital, program onboarding metaverse, program pengalaman imersif harta intelek dan lain-lain,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Surat Tawaran DKD 2023 hari ini.


Sebanyak RM21.6 juta dana DKD telah disampaikan kepada 39 syarikat industri filem dan muzik menerusi FINAS dan MyCV hari ini.


Di bawah FINAS, 14 syarikat telah ditawarkan Dana Filem Cereka dan 10 syarikat menerima Dana First Time Amature Filmmaker (FAME) yang melibatkan jumlah keseluruhan RM18.3 juta.


Manakala untuk MyCV, 11 syarikat telah ditawarkan Dana Persembahan Muzik dan empat syarikat mendapat Dana Promosi dan Antarabangsa melibatkan RM3.3 juta.


“Saya amat mengharapkan komitmen serta fokus yang tinggi supaya projek dapat dilaksanaka mengikut kos, tempoh dan skop ditetapkan. Dana DKD ialah duit rakyat dan amanah yang diberikan perlu dilaksanakan oleh setiap penerima dengan sebaik mungkin,” katanya.


Dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM102 juta kepada KKD untuk melaksanakan DKD di bawah FINAS, MDEC dan MyCV.


“Kita telah menyaksikan beberapa kejayaan menerusi inisiatif DKD. Antaranya ialah filem Imaginur dengan kutipan RM6 juta, Mat Kilau RM90 juta, Tiger Stripes yang meraih Hadiah Utama Cannes Critic’s Week, Hungry Ghost Diner yang mendapat Netpac Award di 27th Bucheon International Fantastic Film Festival.


“Selain itu, penghasilan kandungan animasi terkenal seperti Mechamato, Didi & Friends, Ejen Ali dan Upin Ipin turut mendapat kemudahan DKD,” tambah beliau.


Dalam pada itu, KKD melalui FINAS menubuhkan Tabung Komuniti Filem untuk menyelaras agihan kutipan derma yang diterima melalui kerjasama badan-badan kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO), persatuan, syarikat swasta dan individu.


Ia juga bagi menguruskan aktiviti sebelum, semasa dan selepas kejadian, bencana atau kemalangan yang melibatkan penggiat industri kreatif tempatan.


Fahmi turut mengalu-alukan mana-mana pihak syarikat korporat, yayasan, NGO untuk bekerjasama dan menyumbang kepada Tabung Komuniti Filem.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED