Sambutan Hari Kebangsaan 2023 luar biasa, perlihat perpaduan kaum di Malaysia - TPM
Bernama
Ogos 31, 2023 13:09 MYT
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya adalah yang pertama dibawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 luar biasa, perlihat perpaduan kaum di Malaysia - TPM
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya adalah yang pertama dibawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan di Dataran Putrajaya, di sini hari ini disifatkan sebagai berjaya dan luar biasa, memperlihatkan perpaduan kaum di negara ini.
Bertemakan "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan", sambutan yang bermula secara rasmi pukul 8 pagi itu dihadiri lautan manusia, dengan lebih 100,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan umur yang mula berkumpul seawal 1 pagi lagi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui Bernama berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-66 ini hebat dan luar biasa.
"Terbaik, sambutan (Hari Kebangsaan) amat baik dan luar biasa daripada semua pihak," katanya ringkas.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memuji setiap persembahan dipamerkan pada sambutan tanggal bersejarah, genap 66 tahun negara mencapai kemerdekaan hari ini.
"Alhamdulillah persembahan sambutan ini memang berjaya dan perlihat perpaduan semua," katanya.
Antara persembahan menarik adalah segmen cabaran dan ketangkasan yang mengetengahkan kemahiran anggota pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan aksi terjun tepat dari ketinggian 4,000 meter.
Selain itu, sejumlah 50 aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menguasai ruang udara Putrajaya pada pertunjukan yang diterajui Tentera Udara Diraja Malaysia antaranya pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan BAE Hawk, pesawat pengangkut A400M dan C130 Hercules termasuk helikopter Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya adalah yang pertama dibawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kali kelima Putrajaya menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan. Putrajaya pernah menjadi tuan rumah pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.
-- BERNAMA