Mahkamah Rayuan ganti hukuman mati bekas tentera dengan penjara 40 tahun
Bernama
Ogos 24, 2023 17:44 MYT
Mahkamah Rayuan ganti hukuman mati bekas tentera dengan penjara 40 tahun
Perayu didapati bersalah membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada di Kuala Krai, Kelantan antara 11 pagi dan 3 petang pada 12 April 2017. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman mati seorang bekas tentera dengan penjara 40 tahun bagi kesalahan membunuh seorang wanita warga emas dalam satu insiden samun pada 2017.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M.Komathy Suppiah turut memerintahkan Zarmayade Abdullah, 46, disebat sebanyak 12 kali.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Hadhariah berkata mahkamah menolak rayuan Zarmayade dan mengekalkan sabitan terhadapnya bagi kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata panel itu mengetepikan hukuman mati yang dijatuhi ke atas Zarmayade oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun.
Mahkamah kemudian mengarahkan Zarmayade menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 April 2017.
Dia didapati bersalah membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada di Kuala Krai, Kelantan antara 11 pagi dan 3 petang pada 12 April 2017.
Bekas guru itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh anaknya yang pulang ke rumah mereka pada sebelah petang.
Pada 22 Dis 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan Zarmayade bersalah dan menjatuhi hukuman mati.
Ini menyebabkan tertuduh membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Peguam Ahmad Nizam Mohamed, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin dan Muhamad Hanis Mohamed Shariff mewakili Zarmayade manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.
-- BERNAMA