Translate

27 March 2025

Bekas kontraktor dipenjara 30 tahun bunuh isteri



Bekas kontraktor dipenjara 30 tahun bunuh isteri

Bernama

27/03/2025


Mahkamah menetapkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkap, 11 Mei 2021. -Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang bekas kontraktor dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh isterinya dengan cara menekup mangsa menggunakan selimut di kediaman mereka, empat tahun lepas.

Bekas kontraktor Chuah Chin Hoe dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun kerana membunuh isterinya dengan cara menekup mangsa menggunakan selimut.

Peguam tertuduh memohon hukuman penjara minimum 30 tahun tanpa sebatan, sementara pendakwa raya memohon hukuman maksimum 40 tahun.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkap, 11 Mei 2021.

Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu ke atas Chuah Chin Hoe, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan, selain memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 11 Mei 2021.

"Selepas mempertimbangkan dengan teliti hujahan daripada peguam tertuduh, faktor-faktor pemberatan yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya, pernyataan impak mangsa daripada ahli keluarga kedua-dua si mati, yang seimbang dengan pelakuan jenayah serta fakta dan keadaan kes ini, mahkamah ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas tertuduh, kata hakim itu.

Chuah didakwa membunuh Lau Bee Hong yang ketika kejadian berusia 46 tahun, di sebuah unit kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini antara 2.30 pagi dan 9.30 pagi, 9 Mei 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Terdahulu, peguam Carmen Eu yang mewakili bapa tiga anak itu, memohon hukuman penjara paling minimum selama 30 tahun tanpa dikenakan sebatan, atas alasan anak guamnya berusia lebih 50 tahun dan mengalami masalah tekanan mental berikutan kehilangan isteri dan anak lelaki mereka dalam tempoh masa yang singkat.

"Tertuduh merupakan suami yang baik dan penyayang dan perbuatan yang dilakukan terhadap isterinya adalah serangan secara spontan dan bukannya sesuatu yang telah dirancangkan.

"Mohon mahkamah mengambil kira juga fakta bahawa tertuduh tidak dapat menghadiri pengebumian anak keduanya kerana dia berada di penjara.

"Dengan hukuman yang minimum, tertuduh berjanji akan menggunakan peluang kali kedua sebaik mungkin," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir memohon hukuman maksimum, mengambil kira faktor tertuduh sebagai seorang suami dan ketua keluarga bertanggungjawab untuk melindungi dan bukannya menyakiti isteri sendiri.

"Keterangan dikemukakan di mahkamah tidak menunjukkan sebarang elemen pergaduhan atau provokasi yang membawa kepada pembunuhan ini.

"Ia bukanlah a crime of passion, ia jenayah yang dilakukan dengan niat dan telah dirancang terlebih dahulu.

"Terdapat bukti spesifik menunjukkan mangsa membuat laporan polis kerana bimbang ancaman terhadap dirinya dan bukti ini tidak seharusnya diketepikan dalam menjatuhkan hukuman.

"Oleh itu saya mohon satu hukuman paling wajar iaitu penjara maksimum selama 40 tahun, jika tidak dikenakan hukuman mati," katanya.

Pada prosiding hari ini, pernyataan kesan terhadap mangsa turut dibacakan di mahkamah oleh kakak dan anak lelaki mangsa dengan dihadiri peguam pemerhati bagi pihak keluarga Phang Soon Mun dan Darren Ee Kin Chung.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Iowa viewed 'Lumpia Recipe by Pia Wurtzbach Miss Universe 2015 ' 6 mins ago
A visitor from Kansas viewed '4 School boys caught for throwing stones at passin' 13 mins ago
A visitor from Los angeles viewed 'Agong, Raja Permaisuri berkenan tunai solat sunat ' 16 mins ago
A visitor from Ashburn viewed 'Tiga rumah teres di Klang musnah dalam kebakaran m' 16 mins ago
A visitor from New york viewed 'Agong, Raja Permaisuri berkenan tunai solat sunat ' 16 mins ago
A visitor from California viewed 'The Kuala Lumpur Mayor’s Tourism Awards (KLMTA) 20' 47 mins ago
A visitor from Ampang viewed 'Pasukan SMART selamat tiba di lokasi operasi di Sa' 1 hr 12 mins ago
A visitor from Louisiana viewed 'Malaysian Prime Minister Tun Dr Mahathir Arrives i' 1 hr 22 mins ago
A visitor from Kansas viewed 'US White House Press Briefing February 9, 2017 | B' 1 hr 26 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Gempa bumi susulan 5.1 skala Richter landa utara M' 1 hr 26 mins ago