Translate

03 January 2025

Tiga Geng Atan terlibat kes pecah rumah, curi didakwa



Tiga Geng Atan terlibat kes pecah rumah, curi didakwa

Bernama

03/01/2025


Tiga ahli 'Geng Atan' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan niat mencuri, bulan lepas. - Gambar Bernama


JOHOR BAHRU: Tiga ahli 'Geng Atan' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan niat mencuri, bulan lepas.

Mah Mun Fei, 46; Liew Siong Khan, 42, dan Teo Kiam Hong, 48, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa dengan niat ingin mencuri harta milik seorang lelaki iaitu satu unit televisyen di sebuah rumah di Jalan Mutiara Emas 2/17, Taman Mount Austin di sini, pada 8.20 malam, 11 Dis lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, ketiga-tiga mereka turut berdepan pertuduhan lain secara berasingan.

Mah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu keping kad pengenalan atas nama seorang wanita, iaitu tertuduh ada sebab untuk mempercayai bahawa harta itu adalah harta curi di tempat, tarikh dan masa sama dan seksyen serupa dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Feb ini.

Liew pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melupuskan harta curi iaitu dua cincin emas, seutas rantai emas dan satu loket batu emas milik seorang wanita di sebuah kedai emas dekat Jalan Kota Tinggi - Jalan Pandan di sini, kira-kira 4 petang, 14 Dis 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Teo mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan membabitkan kesalahan memiliki, menyimpan, mencuri dan melupuskan harta curi.

Teo didakwa menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu cincin dan dua gelang tangan berwarna kuning keemasan milik seorang lelaki serta memiliki nombor pendaftaran kenderaan lain.

Dia juga menghadapi pertuduhan menyimpan harta curi iaitu kenderaan jenis Honda H-RV milik seorang wanita; dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu sebuah peti besi milik seorang wanita dan menyimpan sebuah beg jerut serta beberapa alat permainan video milik seorang lelaki, iaitu tertuduh mengetahui semua harta itu adalah harta curi.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Bandar Baru Permas Jaya, Taman Mount Austin dan Jalan Harmonium 27, di sini, pada 12.30 tengah hari 12 Nov 2019 dan antara 8.20 malam 11 Dis hingga 3.45 petang, 15 Dis tahun lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman dan Siti Aishah Latif mengikut Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Mahkamah menetapkan 14 Feb ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam dan kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin masing-masing dengan Mah berjumlah RM7,000; Liew (RM8,000) dan Teo (RM25,000).

Sementara itu, di dua Mahkamah Sesyen, ketiga-tiga tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memberikan kepada diri mereka dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebat sehingga tiga kali, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Hazeelia Muhammad tidak membenarkan jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi pada 4 dan 7 Feb. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, Nurul Syafiqah Sha'ari dan Siti Fatimah Mamu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED