Translate

12 January 2025

Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat malam ini



Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat malam ini

Bernama

12/01/2025


Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SJKC Pu Sze berikutan kediaman mereka di Kampung Sepakat Baru dan Kampung Laut dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak dua hari lalu. - Bernama


KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat malam ini berbanding petang tadi manakala di Perak kekal.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,869 orang setakat 8 malam ini berbanding 3,779 orang yang direkodkan petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,093 keluarga itu ditempatkan di 37 PPS di lima daerah yang terjejas.

"Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,262 mangsa, diikuti Johor Bahru (774), Kulai (735), Pontian (568) dan Kluang (530).

"Selain itu, hanya stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 15.62 meter (m) (trend menurun)," katanya dalam kenyataan malam ini.

Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Beliau berkata Johor Bahru, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi diramalkan hujan pada malam ini manakala enam daerah lain di negeri itu diramal mendung.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Manjung kekal 31 orang daripada sembilan keluarga dan kesemua mangsa itu ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas sejak Khamis lepas.

"Kesemua mangsa penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.43m berbanding paras normal 165.10m.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED