Translate

06 April 2025

Gadis OKU hilang selepas keluar bermain di taman permainan



Gadis OKU hilang selepas keluar bermain di taman permainan

Bernama

06/04/2025


Gadis OKU, Nurin Wardina Hairi yang berusia 18 tahun dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan. - Gambar Sinar Harian


MELAKA: Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran berusia 18 tahun dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kehilangan mangsa, Nurin Wardina Hairi, disedari ibunya yang berusia 47 tahun pada pukul 5.30 petang selepas mendapati anak gadisnya itu masih belum pulang ke rumah.

"Sekitar pukul 3 petang, ibu mangsa melihat anaknya keluar rumah untuk bermain di taman permainan berhampiran. Gadis itu juga enggan mengikut ibunya menghantar kakaknya ke tempat kerja di Tanjung Minyak.

"Namun, apabila pulang ke rumah, wanita itu mendapati anaknya tiada lalu meminta suaminya mencarinya di kawasan taman permainan tetapi tidak menjumpainya. Mereka kemudian mendapatkan bantuan penduduk taman untuk turut sama mencari anak mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum mangsa keluar rumah, pengadu ada melihat sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak diparkir berhampiran dalam keadaan mencurigakan, namun hanya menganggap ia milik pengunjung inap desa di sebelah rumahnya.

Christopher berkata menurut salah seorang penduduk taman, remaja OKU berkenaan dilihat masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa itu secara rela dan tidak menunjukkan sebarang tanda dipaksa, menyebabkan penduduk tersebut menyangka kereta itu milik saudara-mara mangsa.

Menyedari kehilangan anak gadisnya, pengadu membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga pada pukul 9.38 malam tadi.

"Ibunya memaklumkan anaknya itu mempunyai kebolehan bertutur yang sangat terhad dan hanya memahami perkataan-perkataan mudah. Dia juga sukar didekati serta tidak mempunyai kawan rapat.

"Menurut pengadu, anaknya sering ke taman permainan tersebut untuk bermain buaian dan sebelum ini tidak pernah gagal pulang ke rumah tepat pada waktunya," katanya.

Christopher berkata gadis OKU itu mempunyai ketinggian kira-kira 145 sentimeter, bertubuh kurus, berkulit sawo matang serta berambut panjang paras bahu dan sedikit ikal dengan kali terakhir dia dilihat memakai baju T berwarna hijau dan seluar panjang hitam.

Beliau berkata pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian dan berjaya mendapatkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pergerakan kereta Perodua Kelisa tersebut.

"Usaha mengesan pemilik kenderaan dan mencari mangsa masih giat dijalankan," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'Shahnaz Abdul Majid awarded RM30 million following' 23 mins ago
A visitor from Pasir gudang viewed 'Caldbeck Macgregor Malaysia Organizes Exclusive Bu' 56 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Pemandu Mitsubishi Triton langgar lari wanita hing' 2 hrs 5 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Cacing ditemui dalam tin sardin jenama RANESA yang' 2 hrs 21 mins ago
A visitor from Iowa viewed '19 pusat mengundi dibuka serentak' 3 hrs 3 mins ago
A visitor from Des moines viewed '19 pusat mengundi dibuka serentak' 3 hrs 3 mins ago
A visitor from Boydton viewed '19 pusat mengundi dibuka serentak' 3 hrs 3 mins ago
A visitor from Delaware viewed '19 pusat mengundi dibuka serentak' 3 hrs 5 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 3 hrs 13 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Azalina, Ewon to represent Malaysian government at' 3 hrs 22 mins ago