Translate

25 April 2025

Rasuah: Mahkamah kembalikan hukuman penjara enam bulan, denda RM25,000 terhadap bekas hakim



Rasuah: Mahkamah kembalikan hukuman penjara enam bulan, denda RM25,000 terhadap bekas hakim

Bernama

25/04/2025


Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang hanya menjatuhkan hukuman penjara sehari terhadap Azmil Muntapha . - Gambar fail/Bernama


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 terhadap seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen kerana menerima rasuah berhubung prosiding mahkamah.

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM25,000 terhadap bekas Hakim Mahkamah Sesyen Azmil Muntapha Abas kerana menerima rasuah dalam prosiding mahkamah.

Panel tiga hakim menekankan keseriusan jenayah ini yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman dan menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang hanya menjatuhkan hukuman penjara sehari.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dan Azmil Muntapha kini akan dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 terhadap Azmil Muntapha Abas, 50.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi dan menafikan hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang efisyen.

"Lebih serius lagi dalam kes ini jenayah dilakukan seorang penjawat awam yang ketika itu berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen dan bertanggungjawab menjalankan tanggungjawab kehakiman.

"Ini tentunya menghancurkan amanah tanggungjawab dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman dan melemahkan sistem pentadbiran keadilan negara," katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hakim Mohd Nazlan berkata setelah meneliti rekod rayuan, mahkamah mendapati hakim bicara Mahkamah Sesyen telah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap faktor mitigasi dan pemberatan serta prinsip hukuman yang berkenaan sebelum menjatuhkan hukuman.

"Dalam alasan Mahkamah Tinggi pula yang menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada sehari, terdapat kekhilafan yang tidak memberi justifikasi kepada gangguan terhadap keputusan hakim mahkamah bicara," katanya.

Beliau berkata hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah mencerminkan hukuman yang berkadaran, adil, berpatutan serta tidak berlebihan.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan. Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen iaitu enam bulan penjara dan denda RM25,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda dikekalkan. Mahkamah memerintahkan waran komital dikeluarkan dan responden (Azmil) ditahan serta-merta," kata hakim itu.

Difahamkan Azmil Muntapha akan dibawa ke Penjara Kajang.

Pada 19 Okt 2022, Azmil Muntapha dihukum penjara enam bulan dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 berhubung prosiding mahkamah.

Azmil Muntapha sebagai Hakim Mahkamah Sesyen didakwa telah memperoleh wang tunai RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding berkaitan dengannya, iaitu mengendalikan kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Enam OKT tersebut ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong, yang masing-masing melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam, pada 10 Mei 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman penjara terhadap responden (Azmil Muntapha) yang mana hukuman itu memberi penekanan kepada masyarakat bahawa kesalahan yang dilakukan responden adalah serius.

"Apabila dikurangkan kepada penjara satu hari, ia gagal mencapai matlamat untuk menghalang orang ramai daripada melakukan kesalahan sama dan menunjukkan keseriusan jenayah yang dilakukan oleh seseorang berjawatan sedemikian," katanya.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati saksi pendakwaan ketiga (pegawai polis) dan keempat (timbalan pendaftar) memainkan peranan besar dalam mempengaruhi responden.

Sementara itu peguam Datuk Wira Mohtarudin Baki yang memberi perkhidmatan probono (khidmat guaman percuma) kepada Azmil Muntapha berkata hujahan pendakwaan yang membangkitkan isu kepentingan awam dan menegakkan badan kehakiman adalah retorik.

"Ini kerana tiada tindakan diambil terhadap SP3 dan SP4. Selain itu hukuman penjara menjejaskan kerjaya responden selama 17 tahun serta responden hilang keyakinan diri," kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'Bekas Pegawai SPRM Ugut Polis Didenda RM10,000 (1 ' 12 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Rapid KL On-Demand diperluas ke enam zon baharu be' 13 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Nahas Trak FRU Senarai Nama Mangsa Yang Maut Dan C' 36 mins ago
A visitor from Kampung pasir gudang baru viewed '8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan | BES' 3 hrs 34 mins ago
A visitor from Hyderabad viewed 'MUTTON VARUVAL RECIPE - A MALAYSIAN FAVOURITE | BE' 4 hrs 29 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Angka kematian meningkat sembilan' 7 hrs 7 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Berlakon diculik, pelajar universiti, rakan didakw' 7 hrs 11 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Lebih 200 individu terperdaya skim pelaburan IRPS,' 7 hrs 58 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 8 hrs 4 mins ago
A visitor from Shepperton viewed 'KEJADIAN DI KEDAI AISKRIM MASJID PUTRA, PUTRAJAYA,' 8 hrs 42 mins ago