Maritim Malaysia lupus dadah bernilai RM60,000
Bernama
25/04/2025

Langkah-langkah berkenaan dilakukan dengan teliti bagi memastikan tiada sisa yang boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar. - Foto APMM
ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan melupuskan kira-kira 10 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM67,400 di sini semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan Komander Maritim Norrimi Hassan berkata kesemua dadah yang merupakan hasil rampasan menerusi beberapa operasi penguatkuasaan sepanjang tahun lepas itu dilupuskan mengikut prosedur ketat dan terkawal di Medivest Sdn Bhd di Bukit Rambai.
"Menerusi proses dijalankan, dadah berkenaan dilupuskan hingga menjadi abu dan sisanya disalurkan kepada syarikat berdaftar yang diiktiraf untuk tujuan penanaman abu secara sah dan terkawal, selaras dengan garis panduan pihak berkuasa.
"Langkah-langkah berkenaan dilakukan dengan teliti bagi memastikan tiada sisa yang boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Norrimi berkata tindakan melupuskan dadah tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memerangi jenayah rentas sempadan, terutamanya penyeludupan dadah melalui perairan negara.
-- BERNAMA