Intai wanita di tandas awam, penganggur dipenjara lima bulan

MUAR: Seorang penganggur dipenjara lima bulan selepas gagal membayar denda RM2,800 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengintai wanita sedang melepas ‘hajat’ di sebuah tandas awam, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Nazrullah Basir, 24, sebelum itu dijatuhi hukuman denda selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Fatin Dalilah Khalid.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 26 tahun dengan cara mengintai melalui bawah pintu tandas awam Tanjung Emas, di sini, 9.30 pagi, 14 April lalu.
Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa sedang ‘berhajat’ dalam tandas awam wanita, dia menyedari terdapat seorang lelaki mengintainya melalui bawah pintu.
Mangsa kemudian menjerit meminta bantuan dengan tertuduh bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Kancil.
Walau bagaimanapun, seorang lelaki yang juga penjaga tandas ternampak kelibat tertuduh ketika melarikan diri sebelum memaklumkan kepada polis.
Bertindak atas maklumat diperolehi, pada jam 12 tengah hari, 21 April lalu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Melalui rakaman percakapan saksi mengesahkan kehadiran tertuduh ke tandas awam selain kawad cam kerana lelaki itu turut bersemuka dengan salah seorang saksi pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludin manakala tertuduh diwakili Tee Xi Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).