Translate

26 April 2025

Sultan Pahang berkenan menyaksikan penutup Eksesais Jungle Falcon TDM, UAELF



Sultan Pahang berkenan menyaksikan penutup Eksesais Jungle Falcon TDM, UAELF

Bernama

26/04/2025


Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama anggota tentera yang terlibat dalam Eksesais Jungle Falcon 2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAELF). - Foto Bernama


KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan upacara penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 2 Tahun 2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAELF) di Felda Sungai Panching Timur, di sini hari ini.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan penutupan latihan bersama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAELF) di Kuantan.

Baginda menekankan bahawa latihan ini mempererat hubungan dua hala, berkongsi ilmu ketenteraan, dan meningkatkan kesiapsiagaan serantau serta global.

Eksesais melibatkan lebih 800 anggota dari kedua-dua negara dengan latihan seperti Serangan Mekanize, Penempatan Tempur, dan Operasi Khas untuk meningkatkan kemahiran serta strategi peperangan.

Al-Sultan Abdullah bertitah eksesais tersebut melambangkan eratnya hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE. Kesediaan kedua-dua negara untuk berkongsi ilmu pengetahuan, taktik ketenteraan, serta aset strategik merupakan langkah penting dalam memperkukuh keselamatan di peringkat serantau dan global.

Baginda bertitah, kerjasama seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan ikatan antara kedua-dua pasukan tentera, malah memupuk kepercayaan, membentuk sinergi operasi, dan meningkatkan keberkesanan tindakan bersama dalam menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan.

"Beta berharap agar segala ilmu dan nilai yang diperoleh melalui eksesais ini akan diamalkan dalam setiap tindakan dan penugasan. Jadilah perajurit yang berintegriti, cekal, dan berwawasan, bukan sahaja di medan perang malah dalam membangunkan negara yang kita cintai ini," titah baginda.

"Beta juga yakin kejayaan eksesais ini adalah hasil daripada latihan intensif yang menguji ketahanan fizikal, mental, dan jiwa para perwira. Eksesais ini telah menjadi wadah untuk memupuk kepimpinan, menyuburkan kesatuan, dan memperkasakan semangat patriotisme," titah baginda lagi.





Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman dengan anggota tentera yang terlibat dalam Eksesais Jungle Falcon Siri 2 Tahun 2025. - Foto Bernama

Turut hadir pada majlis penutup eksesais tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Ketua Staf Angkatan Tentera UAE Lt Jen Staf Eisa Saif Mohamed Ablan Almazrouei, dan Komander UAELF Staff Mejar Jen Yousef Maayouf Saeed Humaid Al Hallami.

TDM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa eksesais tersebut merupakan latihan dua hala antara TDM dan UAELF yang melibatkan seramai 77 pegawai dan 766 anggota Lain-Lain Pangkat dari kedua-dua negara. Latihan ini telah berlangsung dari 14 April hingga hari ini di beberapa lokasi di Kuantan.

Latihan ini merupakan siri kedua selepas pelaksanaan siri pertama pada 2023 yang berkonsepkan Operasi Mekanize dan Operasi Khas secara bersama dalam konteks Peperangan Konvensional. Beberapa siri latihan termasuk Serangan Mekanize, Penempatan Tempur, Latihan Menembak Senjata Berat, serta Operasi Khas telah dijalankan.

Kesemua latihan tersebut direka untuk mensimulasikan suasana pertempuran sebenar serta menguji ketahanan fizikal dan mental setiap anggota yang terlibat. Melalui pendekatan ini, kedua-dua pasukan dapat menilai tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'Nahas Trak FRU Senarai Nama Mangsa Yang Maut Dan C' 7 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Bekas Pegawai SPRM Ugut Polis Didenda RM10,000 (1 ' 1 hr 14 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Rapid KL On-Demand diperluas ke enam zon baharu be' 1 hr 15 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Nahas Trak FRU Senarai Nama Mangsa Yang Maut Dan C' 1 hr 38 mins ago
A visitor from Kampung pasir gudang baru viewed '8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan | BES' 4 hrs 36 mins ago
A visitor from Hyderabad viewed 'MUTTON VARUVAL RECIPE - A MALAYSIAN FAVOURITE | BE' 5 hrs 31 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Angka kematian meningkat sembilan' 8 hrs 9 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Berlakon diculik, pelajar universiti, rakan didakw' 8 hrs 13 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Lebih 200 individu terperdaya skim pelaburan IRPS,' 9 hrs ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 9 hrs 6 mins ago