1MDB: Ketua Pengarah BPJPM mohon ketepikan sepina sebagai saksi kes Najib
Bernama
09/04/2025

Najib sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram . - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) memohon untuk mengetepikan sepina yang dikeluarkan terhadapnya bagi menjadi saksi pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pengarah BPJPM memohon untuk mengetepikan sepina yang dikeluarkan terhadapnya dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Permohonan mengetepikan sepina dibuat kerana Ketua Pengarah BPJPM terikat dengan Akta Perlindungan Saksi dan tidak boleh membincangkan maklumat mengenai peserta program saksi.
Hakim mengarahkan permohonan untuk mengetepikan sepina difailkan pada Jumaat ini dan akan didengar Selasa depan.
Peguam Kanan Persekutuan BPJPM Nur Hidayah Raihan Md Nasir berkata pihak pembelaan Najib menyerahkan sepina itu semalam supaya Ketua Pengarah BPJPM memberikan keterangan berhubung bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa.
Menurut Nur Hidayah, pihaknya percaya permohonan untuk mengetepikan sepina itu perlu kerana Ketua Pengarah BPJPM terikat dengan Akta Perlindungan Saksi, iaitu obligasi kerahsiaan untuk tidak membincangkan apa-apa maklumat mengenai peserta program atau hal ehwal program saksi.
Beliau berkata jika Ketua Pengarah BPJPM dipanggil sekali pun sebagai saksi, beliau tidak boleh menjawab apa-apa kerana terikat dengan undang-undang.
"Yang Arif, sepina itu diterima 11 pagi semalam supaya ketua pengarah BPJPM memberikan keterangan berhubung Roger Ng. Pihak kami memohon untuk mengetepikan sepina itu, secara lisan.
"Saya ingin menjelaskan mengapa permohonan (mengetepikan sepina) ini (secara lisan), ia adalah kerana ketua pengarah menerima sepina jam 11 pagi semalam, dan ia tidak menyatakan kenapa beliau perlu hadir ke mahkamah hari ini.
"Bagaimanapun, berdasarkan percakapan telefon dengan pihak pembelaan, saya mendapat maklumat bahawa pihak pembelaan ingin bertanyakan mengenai penama Roger Ng.
"Disebabkan tempoh masa yang singkat, iaitu kurang daripada 24 jam, saya tidak dapat memfailkan kertas kausa bagi permohonan untuk mengenepikan sepina ini," katanya.
"Saya ingin menjelaskan mengapa permohonan (mengetepikan sepina) ini (secara lisan), ia adalah kerana ketua pengarah menerima sepina jam 11 pagi semalam, dan ia tidak menyatakan kenapa beliau perlu hadir ke mahkamah hari ini.
"Bagaimanapun, berdasarkan percakapan telefon dengan pihak pembelaan, saya mendapat maklumat bahawa pihak pembelaan ingin bertanyakan mengenai penama Roger Ng.
"Disebabkan tempoh masa yang singkat, iaitu kurang daripada 24 jam, saya tidak dapat memfailkan kertas kausa bagi permohonan untuk mengenepikan sepina ini," katanya.
Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata pihaknya terkejut mengapa Ketua Pengarah BPJPM membantah permohonan sepina itu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan supaya permohonan untuk mengetepikan sepina itu difailkan pada Jumaat ini dan akan didengar Selasa depan.
Pada 2023, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Roger Ng dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan skandal kewangan 1MDB.
Roger Ng yang berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan di New York susulan tuduhan membantu menggelapkan dana 1MDB, akan dikembalikan ke negara itu, dengan dia menghadapi pertuduhan berkaitan.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Sequerah mengarahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA