Translate

29 March 2025

Gempa bumi: Pasukan berbasikal wanita Kedah selamat di Bangkok



Gempa bumi: Pasukan berbasikal wanita Kedah selamat di Bangkok

Bernama

29/03/2025


Empat pelumba dan empat pegawai pengiring yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada 11.45 pagi semalam itu, telah dipindahkan ke kawasan jauh dari Bangkok.


ALOR SETAR: Pasukan berbasikal wanita Kedah yang menyertai Kejohanan Jelajah Thailand 2025 di Bangkok, Thailand yang dijangka bermula Isnin depan, berada dalam keadaan selamat selepas ibu negara itu digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud, semalam.

Ketua Jurulatih Noor Alfizar Othman berkata seramai empat pelumba dan empat pegawai pengiring yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada 11.45 pagi semalam itu, telah dipindahkan ke kawasan yang lain kira-kira 400 kilometer (km) dari Bangkok.

"Kami bertolak semalam dan dijangka akan pulang ke tanah air pada 5 April depan selepas selesai kejohanan berkenaan. Kami tiba di hotel penginapan pada 12.50 tengah hari dan ketika itu semuanya baik-baik sahaja dan tiada apa yang berlaku, jadi kami semua masuk ke dalam bilik.

"Tetapi, tiba-tiba seorang atlet yang duduk di atas kerusi memaklumkan bahawa kerusinya bergoyang. Selepas itu, barulah saya rasa bangunan hotel itu seperti sedang bergerak ke kiri dan kanan dan apabila saya selak langsir tingkap, saya nampak tiang elektrik dan lampu isyarat di jalan turut bergoyang," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata ketika itu mereka melihat orang ramai di luar lari bertempiaran dan dalam masa yang sama penyambut tetamu hotel berkenaan meminta kami semua untuk keluar daripada hotel dan pergi ke kawasan yang lebih selamat.

"Keadaan memang agak kelam kabut dan pada masa itu saya hanya suruh mereka semua ambil barangan yang penting dan lari turun keluar daripada hotel. Masa kejadian itu, kami hanya cuma mahu lari dan berada jauh dari Bangkok untuk selamatkan diri sahaja.

"Syukur, kami semua selamat dan kesemua waris dan keluarga atlet telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai keadaan mereka yang berada dalam keadaan selamat dan baik," katanya.

Sementara itu, Noor Alfizar berkata wakil pegawai dari Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia ada menghubunginya dan bertanyakan mengenai keadaan mereka di sana dan pegawai Persatuan Berbasikal Thailand, juga telah membantu mengeluarkan mereka dari Bangkok pagi tadi.

"Semalam, majoriti kami tidak dapat tidur kerana susah hati dan masih ada rasa gegaran cuma tidak seteruk kejadian pertama. Tambahan pula, kami dengar bunyi siren ambulans dan bomba sehingga awal pagi.

"Tetapi, syukur kerana semua atlet dapat kumpul kembali semangat mereka selepas melihat pelumba-pelumba daripada pasukan lain di sini. Mereka bersemangat untuk memulakan perlumbaan Isnin depan dan melihat kepada situasi itu, saya selaku ketua jurulatih pun berasa lega," katanya.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) melaporkan gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Myanmar pada 1.20 tengah hari dengan gegaran dirasai di Bangkok.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'Kerajaan perluas program jualan murah sempena Aidi' 5 mins ago
A visitor from Los angeles viewed 'Malaysia, negara ASEAN perlu wujud kesep' 49 mins ago
A visitor from Ashburn viewed 'Malaysia, negara ASEAN perlu wujud kesep' 50 mins ago
A visitor from Boardman viewed 'Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, ketidak' 52 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Lelaki cuba buka pintu pesawat dari Kuala Lumpur m' 1 hr 16 mins ago
A visitor from Vermont viewed 'Malaysia tidak perlu panik, gopoh buat keputusan b' 1 hr 48 mins ago
A visitor from La rioja viewed 'Bapa mengaku bersalah sumbang mahram bersama anak ' 1 hr 51 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Small plane crashes in Minnesota after close call ' 2 hrs 13 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, ketidak' 2 hrs 14 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 2 hrs 15 mins ago