Translate

06 April 2025

Malaysia tidak perlu panik, gopoh buat keputusan berhubung tarif AS - Amir Hamzah



Malaysia tidak perlu panik, gopoh buat keputusan berhubung tarif AS - Amir Hamzah

Bernama

06/04/2025


Amir Hamzah semasa sesi lawatan persiapan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) hari ini. - Gambar Bernama


KUALA LUMPUR: Malaysia tidak seharusnya panik dan gopoh membuat keputusan berhubung kesan tarif timbal balik 24 peratus ke atas barangan Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pengumuman Presiden AS Donald Trump berkaitan tarif berkenaan masih baharu dan Malaysia perlu mengambil masa untuk lebih mendalami kesan tarif kepada industri seterusnya berkaitan inflasi.

"Kita kena analisis isu yang ada dan kita perlu berbincang. Buat masa sekarang, pendekatan yang Malaysia ambil iaitu untuk terus berbincang dengan AS kerana kita rasa dengan cara perbincangan, kita boleh cari penyelesaian yang lebih baik.

"Insya-Allah dengan mesyuarat-mesyuarat yang ada dalam ASEAN ini, kita akan cari jalan juga,berbincang dengan rakan kita semua agar ada kesepakatan ke hadapan," katanya kepada Bernama selepas sesi lawatan persiapan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) hari ini.

Amir Hamzah berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan tarif AS terhadap unjuran inflasi negara pada tahun ini.

Turut hadir dalam sesi lawatan berkenaan Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Bank Negara Malaysia (BNM) meletakkan unjuran inflasi tahun ini sekitar 2.0 hingga 3.5 peratus.

Sementara itu, beliau berkata unjuran inflasi tahun ini telahpun mengambil kira pelaksanaan pelarasan subsidi pada masa akan datang.

"Ekonomi kita masih rancak lagi, jadi kadang-kadang apabila ekonomi itu amat rancak, ada tekanan sikit daripada segi inflasi.

"Kita belum mengambil kira lagi apakah yang akan berlaku kalau tarif ini mengambil dan menekan ekonomi dengan lebih. Di bawah kerajaan kita ada majlis bersama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memberi pandangan hala tuju bagi menangani isu yang ada ini," katanya.

Amir Hamzah berkata minggu hadapan, selain menteri-menteri kewangan dan gabenor bank negara serantau dijadualkan bertemu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga akan berjumpa dengan rakan sejawatannya manakala Perdana Menteri juga akan terus berbincang dengan ketua-ketua negara ASEAN.

"Semua negara akan berbincang berhubung apa yang penting untuk setiap negara. Kesefahaman dan kesepakatan ASEAN memang dari lama lagi sudah ada, jadi apabila kita berbincang, kita berjalan bersama," katanya.

Menurut BNM, kesan inflasi daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dan pelarasan cukai yang diumumkan termasuk rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dijangka bersifat sementara dan ia dapat dibendung dengan baik.

Bank pusat itu berkata inflasi dijangka menunjukkan aliran menaik antara dua hingga 3.5 peratus tahun ini berbanding purata pada 1.8 peratus pada 2024 tetapi akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

Ekonomi Malaysia juga diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan dan disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'KEJADIAN DAHSYAT LORI REMPOH BANYAK KENDERAAN DI T' 2 mins ago
A visitor from Seremban viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 3 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Fahmi mahu syarikat telekomunikasi kemuka penyeles' 8 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 8 mins ago
A visitor from Klang viewed 'Helicopter with Tourist Family crashes into Hudson' 10 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed '“Air mengalir tidak dapat diputuskan” - Bagaimana ' 10 mins ago
A visitor from Oslo viewed '‘Saya ditahan ketika pergi dan balik di KKIA’ - Ah' 12 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Dua Lelaki Cedera Diserang Lima Lelaki Bersenjata ' 14 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Trump Excludes Phones, Computers and Chips From Hi' 17 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 17 mins ago