Translate

17 March 2025

24 Mac keputusan ikat jamin CEO GISB bersama 20 individu



24 Mac keputusan ikat jamin CEO GISB bersama 20 individu

Bernama

17/03/2025


Pada 23 Okt 2024, Nasiruddin didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. - Gambar fail


KAJANG: Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan Isnin depan untuk keputusan permohonan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri serta 19 individu yang berdepan pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang supaya dibenarkan untuk diikat jamin.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan, pada prosiding pendengaran permohonan yang berlangsung di Kompleks Penjara Kajang, hari ini.

"Prosiding pada 24 Mac ini akan berlangsung di Penjara Kajang," kata hakim itu.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Rosli Kamaruddin mewakili Nasiruddin berkata anak guamnya mempunyai empat isteri dan 26 orang anak, menghidap penyakit kencing manis serius dan masalah jantung, selain tiada rekod jenayah atau didakwa atas pertuduhan lain di bawah akta pertubuhan atau akta berkaitan pemerdagangan manusia atau akidah.

"Anak guam saya merupakan CEO GISB dan terlibat dalam industri perniagaan dalam dan luar negara meliputi penyediaan makanan di lebih 20 negara," katanya dan menambah Nasiruddin tidak berisiko melarikan diri kerana mempunyai alamat tetap di sini, serta tidak akan mengganggu saksi pendakwaan.

Pasukan peguam lain turut mengguna pakai hujahan Rosli bagi menyokong permohonan anak guam mereka.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Shafiq Hasim berkata Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA), memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan jaminan dengan syarat tertuduh memenuhi syarat diperuntukkan iaitu individu berumur bawah 18 tahun, seorang perempuan serta sakit atau uzur.

"Pemohon memohon untuk dilepaskan dengan jaminan atas faktor sakit atau uzur. Penelitian terhadap afidavit sokongan difailkan pemohon, pihak responden (pendakwa raya) mendapati pemohon tidak pernah mengemukakan sebarang laporan perubatan atau dokumen untuk menyatakan penyakit dihidapinya.

"Pemohon sekadar menyatakan sakit dan uzur serta layak diberikan jaminan. Penyakit mereka hidapi merupakan penyakit biasa yang boleh dihidapi orang lain. Mahkamah seharusnya membezakan penyakit apa boleh dibenarkan ikat jamin supaya tidak menampakkan mahkamah seperti diperolokkan," katanya.

Selain itu, TPR Mariam Jamielah Ab Manaff berhujah melalui laporan doktor pada 28 Feb, keadaan terkini kesemua pemohon adalah stabil dan mahkamah perlu merujuk laporan perubatan terkini, bukannya permohonan pemohon sendiri.

"Doktor yang merawat pemohon dalam penjara mencukupi selain fasiliti dan ubat-ubatan juga lengkap. Pemohon pada bila-bila masa turut boleh ke Klinik Kesihatan Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Pada 23 Okt 2024, Nasiruddin, 66, isterinya Azura Md Yusof, 58, dan 20 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Turut didakwa bersama Nasiruddin dan Azura ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 33.

Tertuduh lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.

Turut dituduh dalam kes ini ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan dengan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

Pada 13 Jan, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Hamimah diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin, serta syarat tambahan antaranya dilarang mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang setiap dua minggu sekali sehingga perbicaraan selesai.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'Suami Cekup Isteri, Kekasih Di Hotel Bajet | BEST ' 4 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Israel bunuh lebih 400 orang di Gaza, gencatan sen' 15 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'KLIA ranks among top 10 airports globally with nea' 2 hrs 17 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Monetary Authority of Singapore (MAS) shuts 1MDB-l' 3 hrs 20 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Ayob Khan tipped to be next IGP| NST | BEST FBKL' 4 hrs 50 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'BEST FBKL'S Top Ramadan Buka Puasa Buffet 2025 - i' 7 hrs 23 mins ago
A visitor from Shepperton viewed 'BEST FBKL'S Top Ramadan Buka Puasa Buffet 2025 - i' 7 hrs 40 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'BTS' J-Hope to drop new single 'Mona Lisa' | BEST ' 7 hrs 49 mins ago
A visitor from Ipoh viewed 'BEST FBKL'S Top Ramadan Buka Puasa Buffet 2025 - i' 7 hrs 53 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'BEST FBKL'S Top Ramadan Buka Puasa Buffet 2025 - i' 7 hrs 59 mins ago