Translate

04 January 2025

SUV terbabit kemalangan maut di Jeram disahkan dipandu pegawai kanan polis



SUV terbabit kemalangan maut di Jeram disahkan dipandu pegawai kanan polis

Bernama

03/01/2025


Hussein juga memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut APJ 1987 sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. - Gambar fail/Bernama


SHAH ALAM: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Klang-Teluk Intan di Jeram, Kuala Selangor Selasa lepas, disahkan pegawai kanan polis yang bertugas di Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya sudah merakam keterangan pegawai terbabit yang ketika kejadian sedang bercuti, dan berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, pemandu tersebut berkemungkinan mengalami 'micro sleep' ketika memandu.

"Pegawai itu juga cedera dan masih dirawat di hospital. Kita juga sudah buat ujian air kencing yang didapati negatif. Kita akan lihat keperluan untuk membuat tangkapan atau sebaliknya.

"Kita akan lengkapkan siasatan dengan kenyataan berdasarkan saksi kejadian, dengan dibantu rakaman kamera papan pemuka yang sudah diperoleh serta kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein juga memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 57 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar Perodua Ativa dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Selangor.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar 6 petang, mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kawasan parit kecil di sebelah kiri jalan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED