Translate

02 January 2025

"Squid Game" catat 480 juta jam tontonan, dominasi kedudukan Netflix



"Squid Game" catat 480 juta jam tontonan, dominasi kedudukan Netflix

Bernama

02/01/2025


Berdasarkan senarai Global Top 10 Netflix untuk minggu berakhir Ahad, siri Korea Selatan itu mencatat lebih 480 juta jam tontonan. - Gambar fail


SEOUL: Musim kedua "Squid Game" menjadi rancangan paling ramai ditonton di Netflix semasa minggu pelancarannya, menurut pengumuman platform penstriman itu.

Berdasarkan senarai Global Top 10 Netflix untuk minggu berakhir Ahad, siri Korea Selatan itu mencatat lebih 480 juta jam tontonan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Angka luar biasa ini bukan sahaja memastikan kedudukannya di tangga teratas kategori TV bukan berbahasa Inggeris, malah mengatasi jumlah jam tontonan dalam kategori TV berbahasa Inggeris serta kategori filem berbahasa Inggeris dan bukan Inggeris bagi tempoh yang sama.

Siri itu juga mencipta rekod baharu untuk tontonan terbanyak dalam minggu tayangan perdananya, mengatasi rekod 448 juta jam tontonan yang dicapai musim pertama pada minggu keempat September 2021.

Walaupun baru ditayangkan pada Jumaat, musim kedua ini menduduki tempat ke-7 dalam senarai rancangan bukan berbahasa Inggeris paling popular sepanjang masa di Netflix.

Musim pertama "Squid Game" kekal di kedudukan teratas, diikuti siri Sepanyol "Money Heist" Bahagian 4 dan siri Perancis "Lupin" Bahagian 1.

Dalam perkembangan lain, poster promo yang dikeluarkan pada hari yang sama memberikan gambaran watak baharu, Cheol-soo, yang akan muncul bersama Young-hee, patung animatronik besar yang mengesan pergerakan pemain dalam permainan itu. Watak baharu ini dijangka tampil dalam musim ketiga yang dijangka ditayang tahun depan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED