Translate

01 January 2025

Malaysia diminta tangguh sementara eksport produk sarang burung walet ke China



Malaysia diminta tangguh sementara eksport produk sarang burung walet ke China

Bernama

01/01/2025


Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, tiada pengesanan penyakit Newcastle Disease pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau olehnya hingga kini. - Gambar hiasan/Sinar Harian


PUTRAJAYA: Malaysia menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) diminta menangguhkan sementara pengeksportan produk sarang burung walet yang melibatkan sarang burung walet mentah bersih dan belum bersih ke China bermula 20 Dis lepas.

Keputusan itu selaras dengan Protokol bagi Eksport Produk Sarang Burung dari Malaysia ke China.

DVS dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa China, melalui Jabatan Pentadbiran Am Kastam negara itu (GACC) meminta Malaysia menangguhkan sementara pengeksportan produk berkenaan berikutan laporan wabak Newcastle Disease (ND) atau penyakit sampar ayam yang dikesan pada ayam dan itik di Malaysia dalam tempoh Mac hingga Jun 2024 sebagaimana telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).

Bagaimanapun, menurut DVS tiada pengesanan penyakit ND pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau oleh jabatan itu hingga kini.

"Rentetan daripada penangguhan pengeksportan tersebut sebanyak 22 konsainan yang berjumlah 1.769 tan metrik bernilai RM7.23 juta dan melibatkan 13 syarikat pengeksport berdepan dengan masalah pelepasan di pintu masuk China," menurut kenyataan itu.

Susulan itu, DVS telah mengadakan sesi perbincangan dengan pengeluar dan pengeksport sarang burung walet Malaysia bagi memberikan maklumat terkini serta membincangkan langkah penyelesaian kepada penangguhan sementara pengeksportan sarang burung walet ke China.

DVS juga telah menghantar laporan terperinci berkenaan status wabak termasuk tindakan pengurusan wabak ND di Malaysia kepada pihak GACC bagi menangani isu tersebut serta memberi jaminan untuk memastikan produk sarang burung walet yang dihantar ke China adalah bebas daripada penyakit ND.

"Sebagai tindakan susulan kepada isu ini, DVS dalam tindakan mengemas kini Protokol bagi Eksport Produk Sarang Burung dari Malaysia ke China untuk dikemukakan kepada GACC agar pengeksportan sarang burung walet dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"DVS kekal komited untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan eksport antarabangsa serta melindungi kepentingan pengeksport dan pengeluar tempatan," menurut kenyataan itu.

ND atau penyakit sampar ayam berpunca daripada jangkitan Paramyxovirus dan boleh merebak melalui udara, air dan makanan yang tercemar dengan virus ND.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED