ADUN lantikan Sabah: Bukti kesungguhan Pas di Sabah - Abdul Hadi
Astro Awani
8 Oktober 2020
KUALA LUMPUR: Pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah antara bukti kesungguhan parti itu dalam usaha memperkukuhkan perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kepercayaan itu disifatkan sebagai membuka lembaran baharu kepada Pas Sabah bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Sabah.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan berkenaan.
"Sesungguhnya keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan Pas dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.
"Kepada Aliakbar dan Pas Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara," katanya dalam ciapan di akaun Twitternya di sini pada Khamis.
Terdahulu Aliakbar antara individu yang hadir dalam majlis angkat sumpah jawatan menteri, pembantu menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah lantikan berlangsung di Istana Negeri Sabah.
Source: Astro Awani
Facebook: Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang