Translate

30 October 2020

Curi barang kosmetik: Pelancong Afrika Selatan dipenjara sehari, denda RM800

                             

Curi barang kosmetik: Pelancong Afrika Selatan dipenjara sehari, denda RM800
BERNAMA
30/10/2020 



KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Akibat mencuri pelbagai barangan kosmetik di sebuah pasar raya seorang pelancong lelaki warga Afrika Selatan dihukum penjara sehari, dan didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Tawfiq Affandy Chin memerintahkan Siphe Mzayiduem, 31, menjalani hukuman itu bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara sebulan.

Mengikut pertuduhan, Siphe didakwa mencuri pelbagai barangan kosmetik termasuk gincu yang anggarannya bernilai RM337.20 di Aeon Wellness Quill City Mall, di sini, pada 5 petang, 20 Okt lepas, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Siphe yang diwakili peguam Mohamad Zaidi Othman memohon hukuman denda minimum dan penjara sehari mengambil kira tertuduh telah direman beberapa hari dan anak guamnya juga telah menyesal serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Tertuduh adalah pelancong dari Afrika Selatan yang tidak dapat pulang ke negaranya kerana pendemik COVID-19. Pengakuan salah tertuduh hari ini telah menjimatkan masa mahkamah dan ini adalah kesalahan pertamanya.

"Barangan yang dicuri itu masih dalam keadaan selamat dan akan dipulangkan kepada pemilik asal. Tertuduh juga dalam proses untuk pulang ke negara asalnya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Di mahkamah sama, seorang bakal bapa, Mohammad Syahrul Akmal Mat Saat, 25, didenda RM1,700 atau penjara dua bulan, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas rakan sekerjanya, Mohd Farhan Yaacob, 34, dengan cara menumbuk muka lelaki itu.

Mohammad Syahrul didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Publika, Solaris Dutamas, di sini pada 9.15 pagi, 13 Dis 2019, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman berbentuk denda dalam lingkungan RM800 dengan alasan dia menanggung ibu serta isteri yang sedang sarat mengandung, manakala Nurilya Ellyna memohon hukuman setimpal.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED