Translate

30 October 2020

Anggota Polis Didakwa Rompak Gelang Emas, Duit Seorang Lelaki

                            

Anggota polis didakwa rompak gelang emas, duit seorang lelaki
BERNAMA
30/10/2020


KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Seorang anggota polis berpangkat konstabel yang didakwa atas pertuduhan merompak gelang tangan emas dan wang milik seorang lelaki, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa ibu bapanya menangis selepas mengetahui dia ditangkap berhubung kejadian itu.

Mohamad Firdaus Che Hussin, 25, memaklumkan demikian semasa rayuan supaya dia dibenarkan diikat jamin di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mohamad Firdaus yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan dia menanggung keluarga.

“Isteri saya tidak bekerja dan mempunyai dua anak masing-masing berusia dua tahun dan lima bulan. Saya juga mempunyai ibu bapa yang berada di kampung dan dijaga oleh kakak saya,” katanya.

Ketika ditanya Hakim adakah emak dan ayahnya tahu yang dia ditangkap berhubung kes ini, Mohamad Firdaus berkata ibu bapanya mengetahui perkara itu dan mereka menangis apabila mengetahuinya.

Hasbullah: Apa kamu rasa? (apabila mak ayah tertuduh menangis)

Mohamad Firdaus: Kecewa, Yang Arif.

Terdahulu, Mohamad Firdaus mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan iaitu dua utas gelang tangan emas dan wang sejumlah RM275 milik Syaifulyazan Hassan, 57, di sebuah rumah di Flat Sri Melaka, Cheras di sini pada 1 pagi, 13 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Dis untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED