Translate

03 September 2023

NACOTS, peranti pengesan virus & kanser, juara INNOVATHON musim pertama



NACOTS, peranti pengesan virus & kanser, juara INNOVATHON musim pertama
ASTRO AWANI



September 3, 2023 21:27 MYT

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai hingga RM1 juta serta trofi. - Gambar Astro AWANI

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai hingga RM1 juta serta trofi. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR:

Peranti sensor DNA bagi mengesan virus dan kanser, NACOTS, dinobat sebagai pemenang rancangan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi, INNOVATHON musim pertama.




Inovasi yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zainiharyati Mohd Zain, pensyarah kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dipilih daripada kalangan lapan finalis untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan pelaburan sokongan pembangunan perniagaan bernilai hingga RM1 juta.




Naib juara pula menjadi milik PUTRA UAV 2.0, inovasi ‘Drone Frame Kit’ dengan serat gentian daun nanas yang dipimpin oleh Navaneetha Krishna a/l Chandran, membawa pulang wang tunai RM80,000 dan trofi; sementara tempat ketiga dianugerahkan kepada ‘Plastic-To-Fuel’, inovasi Mensilin Green Energy Sdn. Bhd. pimpinan Mohamad Ashraf Zulnizam dan Ahmad Luqman Mohamad Adan, bersama hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi.




Manakala tempat keempat menjadi milik ‘The Other Self’, inovasi jaket untuk penghantar makanan dilengkapi keperluan solat daripada Mohd Ehfan Ibrahim dan Aziq Fadzly Amir merangkul hadiah wang tunai RM10,000 bersama trofi; dan inovasi alat rehabilitasi pelbagai fungsi bagi pesakit lewat perkembangan motor kasar & halus, MAIDS5, oleh Kumpulan Rehab Charger dari Unit Perubatan Pemulihan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan menjadi pemenang tempat kelima dengan hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.





Barisan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga rancangan realiti INNOVATHON musim pertama.




Tiga lagi inovasi yang beradu di final INNOVATHON adalah Herba Untuk Ternakan (herba tradisional & organik untuk pembesaran ternakan) oleh Ustaz H. Azmi Nor; M-Braille Typewriter (mesin taip Braille mekanikal kepada inovasi elektronik) daripada Muhammad Hafidzuddin; dan Floating Stretcher (pengusung sebagai alat bantuan menyelamat yang fleksibel, ringan dan serbaguna) oleh Kumpulan Captain Innovator dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia cawangan Slim River, Perak pimpinan Shahrizal Hussin.


Lapan finalis terpilih ke pentas akhir INNOVATHON secara ‘wildcard’ untuk mempersembahkan inovasi masing-masing kepada lima orang juri profesional iaitu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; selebriti dan usahawan, Fazura; serta dua orang pemain industri sebagai juri profesional jemputan - dengan Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani sebagai hos.


Di pentas akhir INNOVATHON, barisan juri professional menyumbang kepada 100 peratus keputusan disaksikan kira-kira 200 penonton di studio.



Memetik kata Rafizi, rancangan seumpama ini menjadi pemangkin untuk warga Malaysia menjadi peneraju inovasi dan tidak lagi sekadar menjadi pengikut dan pengguna semata-mata.


“Di Malaysia, kita adalah pemimpin dalam ekonomi digital tetapi pengikut dalam inovasi; sudah tiba masanya untuk kita melihat diri kita sebagai pencipta, tidak hanya pengguna.


“Mengarusperdanakan inovasi dan menambahbaik bakat teknologi adalah penting untuk membina ekonomi digital yang berjaya, dan ekosistem ini mesti didorong bersama oleh kerajaan dan agensi swasta serta berupaya merangsang pertumbuhan dalam sektor inovasi dan teknologi.”


Ujar beliau lagi, matlamat utamanya adalah untuk menghasilkan lebih ramai individu yang memiliki kesedaran dan pemahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap seluruh ekosistem inovasi dan teknologi serta manfaatnya kepada manusia dan alam seluruhnya.



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED