Astro Awani
28/3/2021
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hari ini, UMNO akan bertanding secara sendirian pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Presiden UMNO itu berkata, parti itu akan kekal dengan pendirian yang dibuat selaras keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan DAP dalam PRU15.
Tegasnya, tidak ada perbincangan yang dibuat dengan mana-mana parti tersebut dan UMNO akan tetap bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
"Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi PRU15. Kita tetap dengan keputusan MKT.
"No PPBM, no Anwar, no DAP. Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
"Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional. Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di sini, hari ini.
Katanya, memahami politik semasa, BN perlu bersiap siaga, oleh itu UMNO akan bertanding solo atas nama dan jenama BN serta menggunakan lambang dacing.
"Kita bukan riak, bukan takabur (tetapi) kita akan bertanding bersendirian dengan lambang BN," katanya.
"Kita akan bertanding solo atas jenama Barisan Nasional," - @DrZahidHamidi#PAU2020 #PolitikMalaysia #HapusCOVID19 pic.twitter.com/t6FII9ZY1G
— 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 (@501Awani) March 28, 2021