Translate

30 March 2021

Polis panggil bekas timbalan menteri kes tular


Polis panggil bekas timbalan menteri kes tular


Kelab Info Malaysia
30/3/2021

SUNGAI SIPUT: Bekas timbalan menteri bergelar Datuk Seri antara individu yang akan dipanggil memberi keterangan berkaitan kes tular kononnya polis menahan perarakan pengebumian mayat dengan kenderaan di Jalan Lintang dekat sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dakwaan itu tidak benar kerana polis tidak menahan kenderaan itu bagi tujuan menghalang perarakan tersebut sebaliknya menasihati mereka agar mematuhi peraturan lalu-lintas.

Malah katanya, tiada tindakan mahupun saman dikeluarkan pihak polis ke atas rombongan berkenaan.

“Polis akan memanggil beberapa orang termasuk yang didakwa sebagai orang kenamaan untuk memberi keterangan selain media yang telah mengeluarkan berita tidak sahih itu,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan sempena Majlis Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.

Menceritakan insiden tersebut, Mohd. Khaizam memberitahu, kejadian berlaku semasa sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Siput sedang menjalankan rondaan cegah jenayah dan mendapati aliran trafik di lampu isyarat di Jalan Lintang agak terganggu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, keadaan itu berpunca ekoran tindakan anggota agensi sukarelawan yang memberhentikan dan melencongkan kenderaan bagi memberi laluan kepada perarakan berkenaan.

“Tindakan menahan rombongan tersebut bukan bertujuan menghalang atau tidak menghormati mayat, tetapi, menasihati mereka agar patuh kepada peraturan lalu-lintas.

“Nasihat juga diberikan kepada anggota agensi sukarelawan terbabit agar tidak sewenang-wenangnya melencongkan kenderaan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa agensi berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, selepas menahan rombongan itu, mereka membuat provokasi ke atas anggota dan tindakan itu bukan satu langkah bijak dan melanggar peraturan.

“Berdasarkan maklumat, konvoi itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebanyak dua kali dan tindakan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku dan dalam hal ini, polis hanya menjalankan tugas yang diamanahkan untuk kesejahteraan masyarakat dan sekiranya didapati melanggar peraturan, maka, sudah tentu tindakan akan diambil,” katanya.

Terdahulu, beberapa gambar dan video berdurasi dua minit 19 saat tular di media sosial yang memaparkan provokasi dilakukan beberapa individu termasuk seorang bekas timbalan menteri kerana berang perarakan kenderaan membawa mayat ditahan polis.

Source: Kelab Info Malaysia / Utusan

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED