Translate

30 March 2021

Kerajaan PN Lemah Punca Laksana Darurat - Tun Mahathir

Kerajaan PN lemah punca laksana darurat - Tun M

Astro Awani
30/3/2021

LANGKAWI: Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lemah di mana hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat menjadi punca kepada pelaksanaan Proklamasi Darurat hingga Ogos depan.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cadangan kerajaan PN untuk melaksanaan darurat adalah demi menyelamatkan kedudukan mereka.

Menurutnya, ini memandangkan peraturan sedia ada seperti beberapa perintah kawalan yang dilaksanakan sebelum ini sudah cukup untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Tambahnya, tindakan kerajaan dalam menggantung Parlimen juga menjadikan keabsahan kerajaan PN tidak dapat ditentukan dan terus kekal berkuasa hingga tamat tempoh darurat.

"Sebenarnya darurat ini kalau mereka (kerajaan PN) kata kerana politik saya setuju, kerana politik memang susah (nak dijangka) sekarang.

"Tetapi nak kata kerana COVID-19, ini tidak betul sebab COVID-19 ini orang Malaysia cukup taat kepada kerajaan.

"Suruh dia 'lockdown' dia buat, suruh jangan seberang (rentas) sempadan (negeri), dia ikut, mereka sangat patuh.

"Jadi dengan undang-undang yang sudah ada, kita boleh tangani masalah COVID-19, tetapi (PN) sengaja hendak kata kerana COVID-19 perlu adakan darurat.

"(Darurat dilaksanakan) bukan kerana COVID-19, (tetapi) kerana kerajaan (yang lemah), dia ada kelebihan cuma dua undi, sebab itu dia minta diadakan darurat.

"Kita tidak boleh hendak tentukan sama ada dia masih kerajaan ataupun tidak. Jadi bila ada darurat, dia tidak boleh disentuh di Parlimen," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah lari daripada usaha membuka sidang Parlimen, sebaliknya persidangan akan berjalan semula sebaik sahaja darurat ditamatkan.

Beliau turut mengakui bahawa Parlimen juga merupakan satu elemen penting dalam proses demokrasi sesebuah negara.

Namun ketika ini, terdapat pilihan lain dalam membuat ketetapan dari segi undang-undang iaitu melalui Ordinan Darurat yang telah dititahkan Yang di-Pertuan Agong.



Hubungan UMNO-Bersatu: Amaran awal sudah saya berikan - Tun M



LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau telah memberikan amaran awal kepada kepimpinan parti itu mengenai kesan kerjasama dengan UMNO sebelum ini.

Jelasnya, adalah tidak mudah bagi Bersatu sebagai sebuah parti baharu menjalinkan hubungan dengan sebuah parti yang kuat dan telah lama bertapak di negara ini.

Namun, menurut beliau, perkara berkenaan tidak diambil peduli dengan kebanyakan pemimpin di dalam Bersatu menyatakan mampu menangani sebarang masalah berbangkit susulan kerjasama tersebut.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau turut ditawarkan untuk mengetuai gabungan baharu berkenaan namun terpaksa menolak atas prinsipnya yang tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana individu yang dihadapkan ke mahkamah.

"Waktu itu (sekitar penghujung Februari 2020), ada juga cadangan hendak lantik saya jadi Perdana Menteri dalam gabungan baharu.

"Saya kata tidak boleh hendak bekerjasama dengan orang yang dihadapkan ke mahkamah, dan saya bagi amaran bukan senang bagi Bersatu hendak bekerjasama dengan UMNO.

"UMNO lebih kuat dari Bersatu dan Bersatu parti baharu, jadi mereka kata boleh tangani masalah.
"Sekarang ini kita lihat, UMNO tidak mahu Bersatu, dan dia pun ada masalah dengan parti lain. Parti PAS juga ada masalah," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.

Terdahulu, usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipersetujui sebulat suara perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir pada Ahad.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas menggulung perbahasan, berkata perhimpunan kali ini turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED