Translate

31 March 2021

Cabul Wanita, Buruh Dipenjara Setahun


Buruh dipenjara setahun mengaku cabul wanita  

Cabul wanita, buruh dipenjara setahun

Kelab Info Malaysia
31/3/2021

Kota Bharu: Seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita, Khamis lalu.

Tertuduh, Amran Abdullah, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Hamzah, Lorong Limau Manis, dekat sini, 9.40 pagi pada 25 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Amran didakwa menunggang motosikal di lokasi kejadian dan apabila tiba dari arah belakang wanita itu, dia bertanyakan mangsa sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak.

Bagaimanapun, wanita itu menolak pelawaan tertuduh sebelum dia beredar selepas sebuah kereta kebetulan lalu di kawasan itu.

Selepas itu, tertuduh datang semula menyekat wanita berkenaan dan menyentuh punggung mangsa sebelum terus beredar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Edabayu meminta hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes sama sebelum ini.

Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh perlu menanggung kedua ibu bapanya yang sudah uzur.

"Tertuduh juga sudah menerima hukuman daripada masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama setahun bermula tarikh ditangkap.

Source: Kelab Info Malaysia / Nstp

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED