Astro Awani
25/3/2021
KEPALA BATAS: Senyuman terukir di wajah seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang menghidap leukemiat ahap empat apabila impiannya untuk menaiki kereta polis menjadi kenyataan.
Lebih manis, Muhammad Firash Arryan Muhammad Yusri dari Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang diraikan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) pada Khamis.
Ia hasil keprihatinan Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang simpati dengan keadaan anak sulung dari dua beradik itu yang dikesan menghidap leukemia tahap kritikal sejak dua tahun lalu.
Ibunya, Aida Royani Abdul Razak, 30 tahun, memberitahu anak sulungnya meminati kerjaya polis dan meluahkan hasrat ingin menaiki kenderaan pasukan keselamatan itu ketika terlantar sakit.
"Impian adik Firash ini untuk menaiki kereta polis. Alhamdulillah, apa yang dia hajatkan itu ditunaikan, terima kasih kepada pihak PDRM kerana merealisasikan impian anak saya.
"Dia minat dengan pasukan polis dari kecil lagi, selepas itu sejak dia tahu dia sakit, dia minta hendak naik kereta polis, dia sangat seronok. Dari kelmarin lagi dia minta hendak naik kereta polis ini," katanya.
Sebelum itu, Noorzainy memangku Muhammad Firash menaiki kereta peronda polis selama 15 minit di sekitar IPDSPU sambil ditemani ibu dan bapanya.
Pada Julai 2020, dia kembali ke tadika selama seminggu selepas menjalani rawatan kimoterapi namun, kesihatannya kembali merosot pada awal Mac lalu selain hati dan limpanya membengkak.
Dalam pada itu, Noorzainy memberitahu dalam kesibukan melaksanakan tugas asas polis iaitu mencegah jenayah, pihaknya tidak mahu meminggirkan golongan kurang bernasib baik seperti Muhammad Firash.
"Salah satu impian dia (Muhammad Firash) ialah untuk menaiki kereta polis dan sempena Hari Polis ke-214 hari ini, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara mengambil inisiatif merealisasikan impiannya.
"Dia juga diberi memakai beret polis semasa menaiki kereta polis sepanjang perjalanan tadi. Nampak adik Firash amat seronok.
"Selain daripada kesibukan kita menyambut Hari Polis dengan tugas-tugas kita untuk mencegah jenayah dan menyekat COVID-19, kita tidak melupakan insan-insan seperti adik Firash," ujarnya.
Muhammad Firash adalah penghidap leukemia kedua dibawa menaiki kereta peronda polis selepas Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan, 7, yang dibawa menaiki kenderaan itu pada Januari lalu.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: