Translate

28 March 2021

Perwakilan UMNO Sebulat Suara Putus Kerjasama Dengan BERSATU Pada PRU15


Perwakilan UMNO sebulat suara putus kerjasama dengan Bersatu pada PRU15

BERNAMA
28/3/2021

KUALA LUMPUR: Usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipersetujui sebulat suara perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir hari ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas menggulung perbahasan, berkata perhimpunan kali ini turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

"Dalam konteks ini, usul lain yang dicadangkan dan diterima sebulat suara perwakilan UMNO bahawa PRU15 mesti diadakan dalam tempoh dari 1 Ogos 2021 selepas darurat tamat atau satu tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan (lebih awal)," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan persetujuan yang dicapai pada perhimpunan ini menunjukkan UMNO kini tidak lagi berada di persimpangan dalam hal kerjasama politik parti itu.

Oleh itu, katanya, semua ahli UMNO perlu mematuhi sepenuhnya keputusan berkenaan dan tidak harus ada lagi dakwa-dakwi di luar sana kerana keputusan yang dicapai adalah sangat jelas.

"Susulan keputusan besar hari ini, saya serta ketua-ketua sayap akan membawa usul yang sebulat suara diluluskan ini ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang.


Mengenai cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah supaya pemimpin yang dilantik oleh kerajaan PN sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan meletak jawatan, beliau berkata cadangan itu akan diteliti pada mesyuarat MT akan datang.

"Ia tiada dalam usul hari ini," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia mesti diadakan tahun ini, tetapi keutamaan diberi kepada PRU15 terlebih dahulu.

Katanya, pemilihan juga perlu melihat keadaan semasa penularan COVID-19 kerana mengikut syarat ia memerlukan kehadiran penuh ahli yang layak.

Meninjau reaksi pemimpin UMNO, Naib Presiden parti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai ahli dan pemimpin, beliau akur dengan apa sahaja keputusan dan pendirian yang akan diambil parti.

Menteri Pertahanan itu berkata ini memandangkan perhimpunan berkenaan memiliki autoriti tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan hal ehwal parti.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perwakilan mencapai kata putus untuk menyerahkan kepada Presiden dan ahli MT memuktamadkan keputusan untuk keluar daripada kerajaan PN.

"Ini satu keputusan," katanya.

Ahli MT UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berpandangan perhimpunan kali ini berjaya menghasilkan keputusan yang baik menerusi perbahasan perwakilan yang terlibat.

"Hari ini kita mendengar pengesahan yang telahpun diputuskan, tak banyak....terima kasih,"" katanya yang juga Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ahli MT Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pihaknya bersedia sekiranya mereka diminta untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan PN.

''Perjuangan dalam parti lebih besar, perjuangan dalam parti bukan boleh dijual beli,'' katanya yang merupakan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED