Translate

05 April 2025

Misi kemanusiaan gempa bumi: Mohamad selamat tiba di Myanmar



Misi kemanusiaan gempa bumi: Mohamad selamat tiba di Myanmar

Bernama

05/04/2025


Mohamad disambut oleh Timbalan Menteri Luar Myanmar Ko Ko Kyaw. - Gambar/ Bernama


NAYPYIDAW (Myanmar): Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Malaysia tiba di Myanmar, hari ini, bagi melaksanakan misi kemanusiaan ke Myanmar susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.

Pesawat yang membawa Mohamad serta delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw, di sini, kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Luar Myanmar Ko Ko Kyaw.

Sejurus tiba, Mohamad bersama dengan pasukan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) menyerahkan barangan Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) kepada Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar.

DELSA merupakan inisiatif di bawah AHA Centre yang menyediakan sokongan logistik kecemasan kepada negara-negara anggota ASEAN yang terjejas akibat bencana.

DELSA membantu dalam penyimpanan awal dan penghantaran barangan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan kecemasan dengan cepat dan berkesan apabila bencana berlaku.

Dalam lawatan itu, Mohamad dan rakan sejawatnya dari Thailand Maris Sangiampongsa yang turut mengetuai misi kemanusiaan itu akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta Menteri Luar Myanmar U Than Shwe di ibu kota Myanmar itu.

Misi kemanusiaan itu merupakan manifestasi solidariti serantau dan sokongan kepada rakyatMyanmar, sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung gempa bumi di Myanmar dan Thailand yang dipengerusikan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 30 Mac lepas secara sidang video.

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan misi itu mencerminkan kesinambungan pendekatan ASEAN yang bersatu dan berteraskan rakyat dalam menangani krisis kemanusiaan serantau.

"Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN, Bantuan Kemanusiaan Pengurusan Bencana (AHA Centre) dan rakan-rakan kemanusiaan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula di Myanmar - terutamanya di wilayah Sagaing dan Mandalayyang paling teruk terjejas," menurut Wisma Putra.

Pada 28 Mac lepas, gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.

Setakat Jumaat, kematian akibat gempa bumi di Myanmar meningkat kepada 3,145 orang, dengan 4,589 cedera dan 221 lagi dilaporkan hilang.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Oslo viewed 'PM Anwar hadir majlis rumah terbuka Ahmad Zahid di' 3 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Puluhan rumah rosak akibat ribut di Perak | BEST F' 4 mins ago
A visitor from Sungai buloh viewed 'Ringgit rises, Dollar slips on escalating trade di' 5 mins ago
A visitor from Labuan viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 10 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 14 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Anggota polis tertembak diri sendiri dipercayai ad' 19 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Chinese President Xi begins 3-day state visit to M' 22 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Ringgit rises, Dollar slips on escalating trade di' 22 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Ringgit rises, Dollar slips on escalating trade di' 24 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Anwar, keluarga ucap takziah atas pemergian senima' 26 mins ago