PM Anwar hadir majlis rumah terbuka Ahmad Zahid di Sri Satria
Bernama
13/04/2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Lebaran Kasih Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Sri Satria malam ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri yang dihoskan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria, di sini, hari ini.
Anwar yang tiba bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria, pada 7.57 malam itu, disambut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis.
Majlis untuk tetamu kenamaan dan jemputan khas bermula 7 malam itu turut dihadiri anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta perwakilan asing.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Bernama Nasriah Darus.
Kira-kira 20,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis itu yang dibuka untuk orang awam bermula 8 malam hingga 11 malam.
-- BERNAMA